Kerajaan cadang wujud pasar raya 'Rahmah'
Hasimi Muhamad
Mac 7, 2023 14:42 MYT
Mac 7, 2023 14:42 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang mewujudkan pasar raya yang menjual barangan keperluan harian dengan harga 'Rahmah'.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif tersebut dilihat sebagai langkah jangka masa panjang yang wajar diambil untuk menangani kos sara hidup rakyat.
Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan libat urus bersama individu-individu yang berpotensi menjadi pelabur bagi merealisasikan hasrat tersebut.
"Saya sudah mula berfikir sekiranya syarikat-syarikat hypermarket yang bukan hanya dalam negeri tetapi multinasional seperti Lotus' dan Aeon Big ini, kenapa tidak kita cuba untuk wujudkan supermarket untuk mampu milik?
"Saya pernah melawat United Kingdom (U.K) dan Amerika Syarikat (A.S) ada ‘hypermarket’ yang menjual barang mampu milik kerana barang-barang yang mahal adalah jenama namun kualiti tetap sama, keuntungannya juga agak memberangsankan untuk turut serta," katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang mahu tahu bagaimana penglibatan pasar raya mini dan kedai runcit tentang jualan Rahmah.
Mengulas lanjut, Salahuddin (PH-Pulai) berkata, negara mempunyai ramai individu yang berkemampuan untuk menyumbang dan bekerjasama dengan pasar raya bagi melaksanakan cadangannya tersebut.
Dalam pada itu, beliau menambah kerajaan tidak pernah memaksa mana-mana kedai runcit dan pasar raya mini membuat jualan Rahmah seperti yang dilaksanakan oleh hypermarket.
Terdahulu, Salahuddin berkata Jualan Rahmah yang dilancarkan pada 11 Januari lalu diperluaskan ke seluruh negara dengan penglibatan dan kerjasama daripada pemain-pemain industri peruncitan seperti pasaraya besar, pasaraya, kedai runcit dan sebagainya.
#pasar raya Rahmah
#Salahuddin Ayub
#pasar raya mampu milik jual barangan keperluan
#Kerajaan Perpaduan