Kerajaan cadang wujud lebih banyak koperasi dalam sektor peruncitan, pemborongan
Bernama
Februari 24, 2017 20:44 MYT
Februari 24, 2017 20:44 MYT
Kerajaan bercadang menubuhkan lebih banyak koperasi dalam sektor peruncitan dan pemborongan dalam usaha mewujudkan lebih banyak kedai harga patut.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan akan memberi geran RM150,000 kepada mana-mana koperasi yang berminat menceburi sektor berkenaan.
"Geran RM150,000 itu boleh digunakan oleh koperasi untuk mengubah suai kedai yang dipilih mereka.
Koperasi juga boleh memohon pinjaman sebanyak RM150,000 daripada Suruhanjaya Koperasi (Malaysia) sebagai modal pusingan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Koperasi Bela Rakyat (Kobera) Parlimen Kubang Kerian di Sekolah Kebangsaan Seberang Pasir Mas di sini hari ini.
Hamzah seterusnya berkata koperasi berkenaan akan ditubuhkan di setiap kawasan Parlimen bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan barangan keperluan dengan harga patut.
"Saya telah melakukan perbincangan dengan beberapa pembekal agar mereka dapat membekalkan barangan dengan harga diskaun kepada koperasi-koperasi berkenaan," katanya.
-- BERNAMA