Kerajaan cadang wujud agensi berpusat tangani isu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

Ridauddin Daud
Mac 4, 2024 11:00 MYT
KULASEGARAN: Perkara yang dihadapi agensi kerajaan ialah ‘trust deficit’, di mana kepercayaan orang ramai kepada agensi nampaknya tidak di tahap yang kita mahu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah agensi berpusat yang khusus untuk menangani sebarang isu berbangkit melibatkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Menurut Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, cadangan itu dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini sebaik dasar tersebut selesai dikaji dan dimuktamadkan.
Katanya, penubuhan agensi berpusat itu bertujuan memastikan fokus kepada tatacara kerja yang lebih teratur dan jelas.
Selain itu, katanya, ia juga bagi mengelakkan agensi penguatkuasaan terlibat keliru dengan bidang tugas masing-masing.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH - Bukit Gelugor) mengenai kesediaan kerajaan menerima aduan secara terbuka, Kulasegaran berkata kenyataan terbuka biasanya melibatkan pendedahan melampau.
“Adakah kerajaan bersedia untuk menerima aduan-aduan secara terbuka tanpa kira sama ada ia perlu melalui proses birokratik?” soal beliau.
“Perkara yang dihadapi agensi kerajaan ialah ‘trust deficit’, di mana kepercayaan orang ramai kepada agensi nampaknya tidak di tahap yang kita mahu.
“Tetapi saya setuju dengan Yang Berhormat, kita perlu ada inisiatif baharu," katanya.
Kulasegaran berkata, beliau percaya apabila kenyataan dibuat secara terbuka, ia menjadi masalah yang besar kerana akan melibatkan pendedahan yang terlampau dan sukar untuk diambil tindakan.
“Jadi, perlu diteruskan kepada agensi-agensi aduan tersebut.
"Kedua, dengan perubahan yang dicadangkan, semestinya perkara yang diberi pandangan oleh Yang Berhormat akan diambil kira,” ujarnya.
#Dewan Rakyat #Ramkarpal Singh #M Kulasegaran #Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010
;