Kerajaan cadang sisip konsep wasatiyah dalam kurikulum sekolah, universiti

Harits Asyraf Hasnan
Mac 27, 2017 18:04 MYT
Cabaran terbesar kerajaan ketika ini adalah untuk menyuntik naratif sebenar dalam kalangan rakyat yang sering dimomokkan dengan pelbagai elemen negatif. - Gambar hiasan
Kerajaan bercadang menyisipkan konsep wasatiyah atau kesederhanaan dalam kurikulum pembelajaran di sekolah dan universiti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia seiring kehendak kerajaan dalam menangani penularan fahaman ekstremis dan kegiatan militan yang mengancam minda rakyat di seluruh negara.
“Kalau kita kaji selidik semua agama, setiap daripadanya mempunyai amalan yang boleh digambarkan sebagai universal meskipun kita berbeza pegangan akidah.
“Bagaimanapun, kebersamaan nilai dalam semua fahaman agama seperti Buddha dan Kristian dengan menitipkan kesederhanaan adalah aspek yang perlu diberi penekanan.
“Oleh itu, saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat bahawa kita perlu usahakan nilai ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) di Dewan Rakyat, hari ini.
Othman mencadangkan kerajaan memasukkan konsep wasatiyah dalam kurikulum sekolah dan universiti memandangkan nilai itu menjadi antara teras pegangan semua agama di negara ini.
Sementara itu, Najib mengakui cabaran terbesar kerajaan ketika ini adalah untuk menyuntik naratif sebenar dalam kalangan rakyat yang sering dimomokkan dengan pelbagai elemen negatif.
Perdana Menteri berkata, langkah itu sukar kerana benih kebencian, amarah, permainan minda dan emosi lebih mudah meracuni pemikiran masyarakat, berbanding amalan kesederhanaan.
“Sehubungan itu, kita mesti berganding bahu untuk memikul tanggungjawab ini tanpa mengira sempadan parti politik, baik pembangkang dan kerajaan supaya mempunyai matlamat yang sama,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh).
#kurikulum #Najib Razak #sekolah #universiti #wasatiyah
;