Kerajaan cadang semua ahli PAC angkat sumpah simpan rahsia - Zahid
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 22, 2015 15:26 MYT
Oktober 22, 2015 15:26 MYT
Kerajaan mencadangkan supaya semua ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengangkat sumpah simpan rahsia demi menjaga kerahsiaan apa sahaja maklumat siasatan yang sedang dilakukan PAC.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu harus dirujuk kepada penasihat undang-undang sama ada sumpah tersebut harus dilakukan ataupun tidak.
"Kerajaan mencadangkan agar angkat sumpah simpan rahsia mesti dilakukan oleh semua ahli PAC. Ini untuk menjaga kerahsiaan.
"Namun, apa yang telah diputuskan Jawatankuasa Pemilih ialah cadangan itu harus dirujuk kepada penasihat undang-undang sama ada sumpah itu harus dialkukan atau tidak.
"Kerajaan berpendapat ia harus dilakukan demi menjaga kerahsiaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih di Parlimen hari ini.
Tegas Ahmad Zahid, jika ada dokumen sulit mesyuarat PAC termasuk maklumat yang dibincangkan dalam mesyuarat PAC...(sama ada) persamaan atau perbedaan pendapat, ia (kenyataan) sepatutnya tidak keluar dari mana-mana ahli PAC.
"Mana-mana pernyataan atau laporan harus dibuat secara rasmi, bukannya pendapat peribadi ahli-ahli PAC," katanya.
Dalam sidang media sama, Ahmad Zahid turut mengesahkan bahawa Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan senarai nama bagi menggantikan ahli-ahli PAC yang tidak lagi berada dalam PAC.
Menurutnya, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia akan mengumumkan nama-nama yang dicadangkan itu dalam persidangan Dewan Rakyat dalam masa terdekat.