Kerajaan cadang perluas PPV bergerak bagi sektor perladangan

Eton Khir
Julai 29, 2021 16:56 MYT
Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPPK) mahu melaksanakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara bergerak di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor dalam masa terdekat. - Astro AWANI
SELANGOR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan melaksanakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara bergerak di beberapa negeri menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan menumpukan pemain sektor agrikomoditi (VACOMS).
Ketua Setiausaha KPPK, Datuk Ravi Muthayah, berkata inisiatif itu akan dilaksanakan bagi menjimatkan kos dan mengurangkan kesesakan di pusat pemberian vaksin.
Tambahnya, perancangan itu sedang diperhalusi oleh pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) untuk memberikan kelulusan.
"Kita juga bercadang untuk mengadakan lebih banyak pusat vaksinasi dan termasuk untuk sektor getah di bawah Malaysia Rubber Council (MRC).
"Ini kerana kedudukan estet-estet ini berselerak, maka kita memberi kemudahan dengan melaksanakan pusat vaksinasi bergerak ini ke tempat-tempat tertentu," katanya selepas lawatan di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Ladang Tennamaram, Bestari Jaya, Selangor pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Nageeb Abdul Wahab berkata, PPV secara bergerak ini akan ditumpukan di kawasan estet di di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor susulan kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi.
"Ahli MPOA kita mempunyai sekitar 165,000 pekerja, maka, kalau boleh kita nak dapatkan (vaksin) melalui PPV bergerak. Ini kerana, kita mendapati cara begitu lebih mudah dan lebih berkesan," katanya.
Manakala, menurut Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Berhad (SDP), Mohamad Helmy Othman Basha, setakat ini 54 peratus pekerja tempatan dan 46 peratus pekerja warga asing di Ladang Tennamaram telah divaksin.
"Antaranya warga Indonesia, Bangladesh, India, Myammar, Sri Lanka, dan Pakistan.
"Bagi warga asing, kita memahami (masalah) bahasa Malaysia yang kurang fasih, maka kita akan mengambil pendekatan dengan menghasilkan video bagi mereka, agar sewaktu menandatangani borang persetujuan vaksinasi itu, tidak berlaku salah faham
"Ini kerana program ini tiada paksaan dan kita juga tidak mahu berhadapan dengan masalah pada kemudian hari. Dalam masa sama, pegawai yang terlibat dilihat bekerjasama dengan kedutaan masing-masing untuk pergi ke ladang bagi menerangkan kelebihan atas pengambilan vaksinasi," katanya.
Beliau turut berkata, pendekatan yang sama akan dilakukan dengan PPV bergerak akan datang.
#COVID-19 #Malaysia #Negeri Sembilan #PICK #PPV #program vaksinasi #Pusat Pemberian Vaksin #Sime Darby #vaksin #warga asing #ppv bergerak
;