Kerajaan cadang perluas kemudahan Bekerja Dari Rumah dengan gaji penuh - Perdana Menteri

Hasimi Muhamad
Mac 8, 2021 10:56 MYT
Inisiatif tersebut jelas Muhyiddin lagi bagi membolehkan wanita kekal dalam sektor pekerjaan serta meningkatkan produktiviti kerja. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kerajaan mencadangkan untuk memperluaskan kemudahan Bekerja Dari Rumah (BDR) untuk sektor awam dan swasta dengan gaji penuh bagi penjagaan ahli keluarga yang uzur dan sakit serta menyokong isteri dalam hal penjagaan anak yang baru lahir.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Sumber Manusia akan diarahkan untuk menilai perkara tersebut.
Inisiatif tersebut, jelas Muhyiddin lagi, bagi menggalakkan shared responsibility dan membolehkan wanita kekal dalam sektor pekerjaan serta meningkatkan produktiviti kerja.
"Selain itu, saya juga telah meminta dikaji sekiranya kemudahan BDR ini dapat dipanjangkan kepada wanita atau lelaki yang kematian pasangan bagi membolehkan mereka menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan kematian yang lazimnya memerlukan masa yang agak lama untuk diselesaikan," beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Sambutan Hari Wanita 2021.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata kerajaan akan turut menyediakan insentif suntikan modal perniagaan dikenali sebagai MyKasih Kapital sebagai tambahan kepada insentif sedia ada.
Jelas Perdana Menteri, inisiatif tersebut membolehkan bantuan modal maksimum sebanyak RM1,000 diberikan kepada sekurang-kurangnya 2,000 orang penerima yang berkelayakan.
"Kerajaan juga akan menubuhkan Skuad WAJA yang dibentuk melalui penyertaan komuniti wanita.
"Ia akan turut memberikan sokongan psikososial dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu jenayah bagi menghentikan keganasan terhadap wanita, serta memperkasakan pengetahuan umum mengenai hak-hak wanita," katanya lagi.
Beliau dalam masa yang sama turut menggesa semua pihak untuk memberikan perhatian kepada perkara-perkara berikut:
- Menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan ini termasuklah memastikan adanya usaha-usaha pencegahan daripada berlakunya gangguan seksual.
- Memastikan apa sahaja aspek perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program menggunakan analisis gender melalui bajet yang responsif gender.
- Kerajaan juga telah menyediakan Geran bagi penubuhan TASKA sama ada di sektor awam mahupun swasta.
- Seterusnya adalah berkaitan dengan kepimpinan wanita. Seruan ini selari dengan tema yang diangkat oleh UNWomen sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 iaitu “Women in leadership: Achieving an equal future in a COVID-19 world”.
Justeru katanya, amat penting suara-suara wanita untuk didengari di peringkat yang lebih tinggi, selain diberikan tempat sebagai pembuat keputusan yang sewajarnya, sesuai dengan bidang kepakaran masing-masing.

*Sempena Hari Wanita Sedunia 2021, Astro AWANI mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua kaum Hawa di mana sahaja anda berada. #ChooseToChallenge

#pemerkasaan wanita #hari wanita #Wanita tonggak negara #Skuad WAJA #MyKasih Kapital #ChooseToChallenge #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #hari wanita sedunia
;