Kerajaan cadang perkenal sistem percukaian baharu - Tun Mahathir

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 9, 2018 11:15 MYT
Dr Mahathir berkata kerajaan akan mencari sistem pelaksanaan cukai terbaik bagi meringankan beban rakyat. - Gambar fail
Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan satu sistem percukaian baharu yang lebih meringankan beban rakyat.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sistem cukai itu juga akan membantu kerajaan dalam melunaskan hutang sedia ada yang berjumlah lebih RM1 trilion.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan atau ketetapan berhubung sistem percukaian baharu itu.
“Ia salah satu cara untuk kerajaan mengutip hasil. Kami belum putuskan berkenaan cukai baharu ini.
“Ia akan berbeza (dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan) serta lebih meringankan beban rakyat. Sebab itu kita akan cari pelaksanaan cukai terbaik dalam hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pelaburan yang bertemakan 'Malaysia: A New Dawn' di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan bercadang menjual aset seperti tanah, kepada rakyat tempatan untuk dimajukan, sebagai salah satu usaha menyelesaikan beban hutang negara.
BERITA LANJUT MENYUSUL
#beban rakyat #cukai #hutang #Mahathir Mohamad #sistem percukaian #SST
;