Kerajaan cadang perkenal pembiayaan swasta pastikan kemampanan sektor air

Bernama
Julai 17, 2024 08:00 MYT
Fadillah berkata pada masa hadapan, penglibatan sektor swasta penting untuk memenuhi pelaburan besar yang diperlukan oleh pelan transformasi sektor air bagi memastikan keterjaminan bekalan itu. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk memperkenalkan pembiayaan swasta alternatif bagi memastikan kemampanan kewangan program sektor air, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada perbelanjaan kerajaan dan mengukuhkan daya tahan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pada masa hadapan, penglibatan sektor swasta penting untuk memenuhi pelaburan besar yang diperlukan oleh pelan transformasi sektor air bagi memastikan keterjaminan bekalan itu.
Beliau berkata usaha bersama diperlukan daripada sektor awam dan swasta untuk melaksanakan amalan pengurusan air yang mampan dengan menerima kemajuan teknologi, menaik taraf infrastruktur yang sudah usang dan menggalakkan penggunaan yang bertanggungjawab, yang merupakan langkah penting dalam memastikan pengurusan sumber air lestari.
"Menjadi tanggungjawab kita memastikan akses sejagat kepada air bersih dan selamat, tanpa mengira latar belakang atau keadaan kerana keterjaminan air menyokong keadilan, kemakmuran dan harapan untuk masa depan yang lebih baik," katanya dalam ucaptama pada Water Malaysia Specialised Conference and Exhibition 2024.
Persidangan dan pameran yang dianjurkan Persatuan Air Malaysia (MWA) itu katanya, menyediakan platform untuk pegawai dan pihak berkepentingan daripada semua subsektor air membincangkan isu utama bagi transformasi air yang lebih holistik menjelang 2040.
Dalam ucaptamanya, Fadillah turut mengulangi objektif strategik pelan transformasi itu, termasuk meningkatkan liputan air bersih dan pembetungan di kawasan luar bandar sebanyak 98 peratus dan mengurangkan air tidak terhasil kepada 31 peratus menjelang 2025.
Selain itu, beliau berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) akan menyokong integrasi teknologi terkini dan infrastruktur yang kukuh untuk membentuk semula ekosistem sektor air.
"Dengan menerima dorongan Malaysia ke arah IR 4.0 (Revolusi Perindustrian keempat), saya optimis tentang keupayaan negara untuk mengguna pakai teknologi maju dalam memperkukuh keupayaan pengurusan air," katanya.
Fadillah berkata bagi membuka potensi penuh pengurusan air mampan, Petra akan membangunkan pusat maklumat dan data air berpusat yang akan menjadi sumber penting dalam mengira air maya dan jejak air negara serta mewujudkan inventori jejak air merentasi seluruh sektor ekonomi.
"Oleh itu, pembuatan keputusan berasaskan data, penyelidikan dan pembangunan, dan kerjasama awam-swasta akan menjadi kunci dalam memacu pelan transformasi bagi memupuk inovasi dan keterangkuman," katanya.
Fadillah berkata beliau yakin dengan mengutamakan kemampanan, daya tahan kewangan dan pendekatan holistik, pelan transformasi air akan membuka laluan bagi masa depan Malaysia yang terjamin dan makmur dengan sektor air sebagai pemangkin ekonomi dan enjin pertumbuhan.
Pada April lepas, Fadillah mengumumkan bahawa Petra dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersedia mewujudkan dan merangka pelan untuk melaksanakan langkah transformasi dalam sektor perkhidmatan air.
-- BERNAMA
#pelaburan #perkhidmatan air #langkah transformasi #enjin pertumbuhan
;