Kerajaan cadang naikkan caj kapal pukat tunda - Ahmad Shabery
Bernama
Julai 28, 2016 10:44 MYT
Julai 28, 2016 10:44 MYT
Kerajaan bercadang untuk menaikkan caj fi kapal pukat tunda milik syarikat perikanan tempatan sebagai usaha menjanakan pendapatan bagi tujuan Penyelidikan dan Pembangunan perikanan laut dalam.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, industri perikanan laut dalam setakat ini masih belum memberikan pulangan sewajarnya kepada kerajaan sejak ianya mula dilancarkan pada tahun 1980-an.
Katanya, oleh itu kerajaan bercadang meningkatkan kerja-kerja Penyelidikan dan Pembangunan dalam industri perikanan laut dalam dan mendapatkan peruntukan kewangan bagi tujuan itu daripada pengusaha bot pukat tunda itu sendiri.
"Fi yang dikenakan sekarang adalah terlalu rendah iaitu sebanyak RM3,000 setahun sedangkan pendapatan dan keuntungan yang dinikmati oleh pengusaha bot pukat tunda itu adalah lumayan," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Sidang Kemuncak Perikanan Wilayah Asia Tenggara dan Pasifik di sini semalam.
Katanya, kewajaran untuk menaikkan fi bot pukat tunda industri perikanan laut dalam adalah satu perniagaan yang lumayan dan para pengusahanya tidak dikenakan cukai hasil tangkapan kepada kerajaan.
Ahmad Shabery berkata, malah kerajaan memberi subsidi kepada nelayan laut dalam yang mendaratkan hasil tangkapan mereka di negara ini.
Katanya, bagaimanapun kerajaan mendapati pemilik kapal pukat tunda sering menggunakan awak-awak dari negara asing dan mendaratkan hasil tangkapan mereka di negara jiran untuk mendapatkan keuntungan lebih.
"Pemilik kapal pukat tunda ini sering menggunakan awak-awak luar dan mereka mendarat hasil tangkapan di negara lain. Mereka juga tidak mengisyhtiharkan hasil tangkapan sebenar kepada kerajaan dan ini adalah sesuatu yang mengecewakan," katanya.
Beliau berkata, jika perkara seperti itu berterusan, ianya menjejaskan usaha kerajaan untuk melahirkan nelayan laut dalam tempatan yang profesional.
#Ahmad Shabery Cheek
#Kerajaan bercadang untuk menaikkan caj fi kapal pukat tunda milik syarikat perikanan tempatan sebagai usaha menjanakan pendapatan bagi tujuan Penyelidikan dan Pembangunan perikanan laut dalam