Kerajaan cadang ambil alih 4 tol Lembah Klang, tetapi...

Astro Awani
Februari 23, 2019 20:43 MYT
Jika berjaya, Kerajaan akan memperkenalkan caj kesesakan (congestion charge) untuk waktu puncak selama enam jam sehari. - BERNAMA/Fail
Kerajaan kini dalam proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya di Lembah Klang.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif itu adalah sebahagian manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.
"Lebuh raya yang terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.
"Dengan kejayaan pengambilalihan tersebut, Kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada," memetik kenyataan itu.
Bagaimanapun, jika berjaya, Kerajaan akan memperkenalkan caj kesesakan (congestion charge) untuk waktu puncak selama enam jam sehari.
"Sebagai ganti caj kesesakan akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.
"Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu 'off-peak' antara jam 11 malam dan 5 pagi, di mana penggunaan lebuh raya adalah percuma.
"Pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa," memetik kenyataan itu.
Hasil kutipan caj tersebut akan diguna pakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman.
Lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam, diguna untuk meningkat kualiti pengangkutan awam seluruh negara.
Lain-lain perincian berkenaan cadangan ini akan di umumkan oleh Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai.
#caj kesesakan #Hapus tol #Manifesto #Pakatan Harapan #tol lebuhraya #tol murah
;