Kerajaan bukan aniaya golongan antivaksin, mahu elak mudarat lebih besar - Hishammuddin

Bernama
Oktober 18, 2021 22:08 MYT
HISHAMMUDDIN: Apa yang kerajaan lakukan ini ialah bertujuan menjaga nyawa orang ramai supaya mereka dapat melindungi nyawa orang lain. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pendirian kerajaan mengenakan tindakan terhadap golongan enggan divaksin bukan bertujuan untuk menganiaya sebaliknya ingin mengelakkan mudarat lebih besar dalam mendepani wabak COVID-19 dalam negara, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein.
"Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan bukanlah hendak menganiaya atau menzalimi mana-mana pihak namun dalam usaha memerangi COVID-19, adalah penting untuk kerajaan berusaha mengelakkan mudarat lebih besar.
"Jadi, apa yang kerajaan lakukan ini ialah bertujuan menjaga nyawa orang ramai supaya mereka dapat melindungi nyawa orang lain," katanya pada sidang media khas di Wisma Pertahanan hari ini.
Beliau berkata golongan enggan divaksin bebas untuk kekal dengan pendirian mereka namun tidak boleh menganggap hak yang diberikan kepada individu yang divaksin akan diperluas kepada mereka.
Semalam, Ismail Sabri dilapor berkata kerajaan tidak berniat mahu menyusahkan mana-mana pihak dengan mengenakan pelbagai peraturan ketika menangani pandemik COVID-19 sebaliknya golongan yang enggan mengambil vaksin hanya menyusahkan diri sendiri kerana tidak dapat menikmati kemudahan yang diberikan kerajaan berbanding mereka yang lengkap vaksinasi.
Hishammuddin juga berkata pelaksanaan Eksesais Bersama Gold 2021 yang bermula 8 Okt lepas dan tamat hari ini, menerima maklum balas positif daripada peserta Australia, New Zealand, Singapura serta United Kingdom.
Eksesais itu dilaksanakan sempena ulang tahun ke-50 Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah.
Selain itu, ia melibatkan lebih 2,000 anggota tentera dari negara peserta termasuk Malaysia, Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom
Hishammudin turut memaklumkan satu sidang video antara beliau dan Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin N. Lorenzana berlangsung hari ini bagi membincangkan tindakan memperkukuh kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
"Perkara lain yang dibincang termasuk usaha memastikan keamanan wilayah Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao, Selatan Filipina.
"Kerajaan turut bersetuju mengadakan mesyuarat peringkat menteri antara Malaysia, Indonesia dan Filipina dalam memperkukuhkan lagi inisiatif Perjanjian Kerjasama Tiga Hala (TCA)," katanya.
-- BERNAMA
#antivaksin #Hishammuddin Hussein #vaksin #COVID-19 #Menteri Kanan Pertahanan #mudarat
;