Kerajaan buat kesilapan dalam SOP Tahun Baru Cina, dakwa Ti Lian Ker
Astro Awani
Februari 5, 2021 09:28 MYT
Februari 5, 2021 09:28 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan didakwa melakukan "kesilapan" dalam prosedur operasi standard (SOP) terbaharu untuk perayaan Tahun Baru Cina minggu depan.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker dalam catatan terbaharu di akaun Facebooknya berkata senarai yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu mesti ditarik balik dan diganti dengan versi yang disemak semula.
Bagaimanapun, Naib Presiden MCA itu tidak menjelaskan tentang kesalahan berkenaan atau memberikan cadangan untuk diperbaiki.
Beliau hanya menyertakan catatan yang memperincikan SOP, yang antara lain melarang keluarga pulang ke rumah untuk percutian dua hari, saling mengunjungi atau berkumpul untuk makan malam bersama keluarga yang disambut pada malam Tahun Baru Cina.
Sebagai gantinya, senarai itu mengatakan bahawa kerajaan hanya membenarkan keluarga yang tinggal di rumah yang sama untuk makan malam untuk memperingati majlis tersebut.
SOP terbaharu itu menerima pelbagai reaksi di media sosial daripada rakyat.
Pada Khamis, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan membenarkan aktiviti majlis 'makan besar' bersama keluarga serta upacara sembahyang di rumah dijalankan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada 11 dan 12 Februari depan.
Bagaimanapun, katanya, aktiviti persembahan dan kebudayaan seperti tarian singa, naga, perarakan tanglung dan chingay serta persembahan opera Cina tidak dibenarkan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menerusi Twitter menjelaskan maksud makan besar untuk mereka yang tinggal di rumah sama oleh Ismail hanyalah bermaksud makan malam biasa dan bukan
makan besar Tahun Baru Cina.
Nada sama diberi Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang memberitahu, SOP Tahun Baru Cina tidak masuk akal.
Sementara ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei menegaskan, MCA seharusnya memberi nasihat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar mempunyai kesedaran budaya dalam isu berkenaan.
Pada Khamis, Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mendakwa SOP perayaan Tahun Baru Cina sebagai bukti terbaharu kegagalan kerajaan untuk merangka pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak COVID-19.
Beliau turut meminta agar ia ditarik semula dan digantikan dengan SOP baharu yang lebih sensitif kepada keperluan mendapatkan semula kepercayaan, keyakinan, dan sokongan rakyat.
#Tahun Baru Cina
#ti lian ker
#Majlis Keselamatan Negara
#MKN
#ismail sabri yaakob
#upacara sembahyang
#persembahan opera Cina
#makan besar'
#tarian singa
#perarakan tanglung