Kerajaan buat kajian menyeluruh gaji permulaan siswazah - Wan Azizah

Wan Syamsul Amly
Mac 31, 2019 17:06 MYT
WAN AZIZAH: Kita ada perbincangan menyeluruh mengenai isu mahasiswa itu yang melihat beberapa kajian terhadap semua fakta untuk membela dan menolong golongan muda. - Astro AWANI
Kerajaan akan membuat kajian menyeluruh dalam isu gaji permulaan untuk siswazah baharu di sektor swasta negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia merangkumi kajian semua fakta berkenaan untuk membela dan menolong golongan muda.
"Kita ada perbincangan menyeluruh mengenai isu mahasiswa itu yang melihat beberapa kajian terhadap semua fakta untuk membela dan menolong golongan muda.
"Kita tahu juga banyak pengangguran graduan, kita tangani apa yang dapat ditangani dahulu, kita tangani secara menyeluruh dan kita akan bantu," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Kad Diskaun Xtra20 KTM Komuter di sini, pada Ahad.
BACA: Industri perlu teliti isu gaji permulaan siswazah - Maszlee
BACA: Sebenarnya, gaji graduan ... - MEF
Kad Xtra20 adalah tambahan diskaun 20 peratus ke atas diskaun tanpa tunai yang sedia ada untuk pengguna Komuter.
Ia dijangka meningkatkan 20 peratus penumpang KTM Komuter pada 2019 iaitu daripada kira-kira 90,000 kepada 108,000 penumpang sehari.
Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, gaji permulaan untuk siswazah baharu di sektor swasta negara ini telah meningkat secara beransur-ansur dari 2010 hingga 2018, tidak seperti yang digambarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut laporan BNM, seorang siswazah baharu lepasan diploma boleh mendapat pendapatan RM1,376 dalam 2018 berbanding RM1,458 dalam 2010 sementara pemegang ijazah sarjana RM2,923 (RM2,707).
#Bank Negara Malaysia #gaji #kerajaan #siswazah #Wan Azizah
;