Kerajaan boleh tawar pilihan sewa kepada mereka tidak mampu beli rumah - Institut REHDA

Bernama
Mei 14, 2024 23:15 MYT
Menurut REHDA, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih mampan berikutan tanah adalah sumber yang terhad. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menawarkan pilihan rumah sewa di samping pemilikan rumah untuk menangani kenaikan kos pembinaan dan bahan mentah, menurut Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
Pengerusinya, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih mampan berikutan tanah adalah sumber yang terhad.
"Jika kerajaan terus membina rumah, akan sentiasa ada tekanan untuk mencari lebih banyak tanah dan membina lebih banyak rumah. Dari aspek produktiviti, kerajaan menjual rumah ini pada harga dengan subsidi yang tinggi.
"Selain itu, segmen kumpulan pendapatan B40 tidak akan mampu untuk membeli rumah. Kita tidak mahu mereka menghadapi situasi tersebut. Justeru, menyewa adalah cadangan yang realistik," katanya kepada pemberita pada Persidangan Perumahan Serantau Institut REHDA 2024 di sini hari ini.
Ng turut mencadangkan kerajaan perlu meningkatkan unit rumah sewa dan mengekalkan aset negara ini untuk memenuhi keperluan orang ramai yang memilih untuk tidak memiliki rumah.
Ng menjelaskan versi kedua laporan itu memberi tumpuan kepada isu-isu mendesak seperti permintaan dan penawaran untuk perumahan serta rumah mampu milik, yang telah menjadi kebimbangan kerajaan selama bertahun-tahun.
Beliau berkata kerajaan dan penggubal dasar perlu menangani isu struktur teras dan mewujudkan dasar untuk menyelesaikan krisis perumahan, sekali gus menggalakkan pasaran perumahan yang kondusif yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Terdapat banyak cadangan dalam laporan itu yang perlu kami bincangkan dengan pihak berkepentingan dalam industri, terutamanya pihak berkuasa. Perubahan dasar perlu berdasarkan analisis yang menyeluruh dan justifikasi data.
"Pihak berkepentingan mungkin bersetuju atau tidak bersetuju dengan rumusan kami tetapi ideanya untuk berbincang (secara dialog), menerima kritikan membina dan mewajarkan pendirian itu," katanya.
-- BERNAMA
#rumah sewa #beli rumah #REHDA #Jeffrey Ng Tiong Lip #hartanah
;