Kerajaan BN pentingkan konsep, falsafah yang memakmurkan negara - PM Najib
Firdaus Azil
April 28, 2018 19:41 MYT
April 28, 2018 19:41 MYT
Kerajaan di bawah pimpinan beliau lebih pentingkan konsep dan falsafah yang boleh memberansangkan perkembangan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, sekiranya pertumbuhan ekonomi tidak menggalakkan, maka kerajaan tidak akan berupaya untuk mendapat hasil pendapatan yang kukuh untuk menyalurkannya kembali kepada rakyat.
"Bila hasil kerajaan kurang, kita tidak boleh bantu golongan seperti para petani, pesawah padi, nelayan, dan kelompok lain.
"Sebab itulah, Alhamdulillah, waktu saya ambil alih kepimpinan negara sampai hari ini, setiap tahun, pukul rata, ekonomi negara berkembang sekali ganda daripada purata perkembangan ekonomi dunia," katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Pesawah Peringkat Pahang di SK Merchong Jaya, Bebar di sini, hari ini.
Datuk Seri Najib, yang juga calon BN bagi P.085 Pekan, berkata ia penting agar kekayaan dapat diagihkan dengan sama rata, dan diberi keutamaan kepada golongan yang lebih memerlukan.
"Semua akan merasai prinsip pengagihan kekayaan, daripada mereka yang bayar cukai, kita bagi juga kepada mereka yang perlukan pertolongan. Itu konsepnya.
"Tetapi, kalau kita tidak ada kemampuan nak urus tadbir negara kita dengan cekap, dan tidak ada kadar pertumbuhan, tidak adalah bantuan-bantuan yang bakal diterima anda," katanya lagi.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Najib turut mengumumkan bantuan RM200 selama tiga bulan kepada golongan pesawah yang hasil tanaman mereka terjejas akibat banjir besar tahun lepas.
Juga diumumkan ialah pemberian bantuan RM2,500 kepada golongan pesawah yang kediaman mereka turut terjejas teruk akibat bencana alam itu.
#Barisan Nasional
#ekonomi malaysia
#MalaysiaMemilih
#Najib Razak
#nelayan
#Perdana Menteri
#pesawah padi
#petani
#PRU14