Kerajaan BN adalah kerajaan untuk orang muda - Najib
Bernama
Februari 11, 2018 19:27 MYT
Februari 11, 2018 19:27 MYT
Kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini adalah kerajaan yang memberi perhatian terhadap orang muda dengan segala dasar dan perancangannya termasuk merangka Transformasi Nasional 2050 (TN50) agar ia sebati dengan jiwa golongan itu demi menjaga masa depan mereka, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri yang juga pengerusi BN berkata tanggungjawab sebagai pemimpin bukan hanya untuk bermain politik atau membuat dasar bersifat jangka panjang dan populis, sebaliknya merangka dasar yang dapat memenuhi impian orang muda.
"Kita mesti buat dasar-dasar yang berasaskan satu visi dan gagasan yang besar bagi mengisi impian, hasrat, cita-cita dan memberi harapan kepada orang muda.
"Negara kita (jika) terus dipimpin oleh kerajaan BN, impian orang muda akan dapat kita penuhi," katanya semasa merasmikan majlis penutupan Hari Gerakan Belia 4B Malaysia di Kampung Ulu Chuchuh, di sini hari ini.
Najib berkata sehingga kini kerajaan telah mengumpulkan 80,000 aspirasi orang muda yang seterusnya akan ditapis dan dicantumkan sebagai asas bagi melakar pelan tindakan TN50.
Katanya pelbagai lagi inisiatif kerajaan dibentuk untuk orang muda antaranya program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang akan dilancarkan secara besar-besaran tidak lama lagi serta Parlimen Belia dan Felo Perdana selain mewujudkan Bandar Belia.
"Bandar Belia akan diwujudkan di tiga buah negeri. Yang pertama di Tanjung Malim, Perak. Jika (BN) menang di Selangor, boleh wujudkan di Selangor," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Najib berkata kerajaan hari ini terbuka kepada pandangan rakyat termasuk orang muda yang menjadi antara faktor beliau memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setelah dilantik sebagai Perdana Menteri.
"Sebab kita mahu masyarakat kita tidak dikongkong ketakutan dengan pemimpin yang dikatakan diktator atau autokratik. Semuanya mesti ikut proses perundangan negara, kalau salah biarlah mahkamah tentukan," katanya.
Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam sejak 3 April 2009.
Najib berkata beliau melaksanakan dasar yang memberi kebebasan awam supaya masyarakat lebih terbuka untuk bersuara serta memberi ruang kepada kritikan.
Bagaimanapun, katanya, masyarakat perlu bertanggungjawab dalam memberi kritikan yang berasaskan fakta dan tidak direka-reka seperti cerita fitnah 40,000 warga Bangladesh mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
"Kalau kita tipu takkan BN kalah di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Kita tak tipu, kita tubuh kerajaan atas undi yang kita terima daripada rakyat," katanya.
Pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 belia dari seluruh negara itu, Perdana Menteri turut melancarkan jentera 'Belia 4B Sahabat BN' yang akan digerakkan pada PRU14 nanti.
Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi BN Selangor dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
-- BERNAMA
#Bandar Belia
#Barisan Nasional
#Belia
#Hari Gerakan Belia 4B
#mahkamah
#Najib Razak
#Parlimen Belia
#pemimpin
#Perak
#pilihan raya umum
#Tanjung Malim
#TN50
#Transformasi Nasional 2050
#vokasional