Kerajaan bincang semula harga Menu Rahmah jika kos meningkat
Astro Awani
Februari 17, 2023 19:56 MYT
Februari 17, 2023 19:56 MYT
KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan berbincang semula dengan pemilik restoran yang melaksanakan kempen Menu Rahmah sekiranya harga barangan mentah meningkat.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, setakat ini kadar inflasi makanan negara adalah pada 6.58 peratus sejak hujung tahun lalu dan awal tahun ini berbanding tujuh peratus pada November tahun lalu.
Tambah Fuziah, berdasarkan analisis pakar ekonomi, inflasi makanan ini dijangka akan menurun sehingga lima peratus pada hujung suku pertama tahun ini yang boleh menyebabkan harga barang mentah menurun.
"Selain inflasi, kadar turun dan naik harga bahan mentah turut dipengaruhi oleh faktor global seperti keadaan cuaca dan faktor global yang lain.
"Jadi kalau ikut analisis ekonomi ia 'on the downward trend' (trend menurun), dan hujung suku pertama akan turun kepada lima peratus lebih kurang.
"Jadi insya-Allah kita doakan bahawa ia tidak membebankan peniaga. Tapi sekiranya unjuran tersebut berubah sebab keadaan ekonomi kita tak menentu... sekiranya unjuran tersebut berubah insya-Allah kita akan bincang balik (dengan peniaga)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Jelajah Menu Rahmah Negeri Pahang bertempat di Restoran Taj Maju di Kuantan, juga merupakan restoran di bawah Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (Presma).
Setakat hari ini, sebanyak 512 premis telah mendaftar di direktori KPDN untuk melaksanakan Menu Rahmah secara sukarela di seluruh negara.
Orang ramai boleh melayari direktori Menu Rahmah di pautan menuramah.kpdn.gov.my.