Kerajaan bincang keperluan wujud pusat kuarantin di Pulau Omadal

Fauzi Suhaimi
November 1, 2020 11:27 MYT
Ismail Sabri berkata, perkara itu akan diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor kesesuaian lokasi dan petugas KKM. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membincangkan isu mengenai keperluan mewujudkan pusat kuarantin di Pulau Omadal, Semporna, Sabah dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), esok.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor kesesuaian lokasi dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
"Ini membabitkan individu tidak berdokumen dan ia bukan semata-mata tanggungjawab KKM. Betul, KKM akan ambil tindakan terhadap mereka didapati positif dengan mengadakan saringan dan sebagainya.
"Tetapi apabila membabitkan individu atau warga asing tidak berdokumen, maka Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu dilibatkan. Jadi ini tidak boleh sewenang-wenangnya kerana ia membabitkan masalah imigresen.
"Saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat khas esok untuk dibincangkan, terutamanya bagi kes seperti ini dan untuk mewujudkan pusat kuarantin baharu di pulau berkenaan.
"Mungkin MKN Sabah boleh menasihatkan pihak mesyuarat esok," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.
Sebelum ini tular dalam media sosial dakwaan KKM enggan mengambil risiko untuk menguruskan pesakit COVID-19 tidak mempunyai dokumen yang menetap di pulau berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, pihaknya juga berbincang dengan KKM melibatkan isu pembukaan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) bagi ibu bapa yang bekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Seperti kita tahu, kumpulan berisiko tinggi warga adalah warga emas dan kanak-kanak, sebab itu TASKA antara yang lambat dibuka selepas PKPP pada Mei dulu.
"Tetapi kita akan bincang dengan KKM bagaimana untuk bantu ibu bapa yang bekerja dan tidak ada tempat untuk tinggal anak-anak dan keputusan kelak mesti mendapat persetujuan daripada KKM," katanya.
#Majlis Keselamatan Negara #perintah kawalan pergerakan bersyarat #COVID-19 #ismail sabri yaakob #Kementerian Kesihatan #Imigresen #perintah kawalan pergerakan #PKPP #PKPB #warga asing #Kanak-kanak