Kerajaan bersikap proaktif untuk jadikan Pusat Bandar Kuala Lumpur destinasi kreatif bertaraf dunia- Zaliha
Pia Ernadya
Mei 28, 2024 19:30 MYT
Mei 28, 2024 19:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memainkan peranan proaktif dalam melaksanakan projek-projek flagship dengan meningkatkan dan menyelaras usaha untuk memastikan ianya mencapai potensi penuh dalam memberikan hela nafas baharu kepada Pusat Bandar Kuala Lumpur untuk muncul menjadi destinasi kreatif bertaraf dunia.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, program Geran Kreatif KL yang dilancarkan hari ini merupakan antara inisiatif penting di bawah kelolaan Think City dan sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan untuk inisiatif ini dalam Belanjawan 2024.
"Program Geran Kreatif KL ini perlu melibatkan penyertaan aktif komuniti dan pelbagai pihak bagi memastikan pendekatan merejuvenasikan Pusat Bandar Kuala Lumpur yang penuh dengan sejarah ini dilaksanakan secara bersama-sama.
"Melalui usaha seperti ini, saya berharap agar kawasan ini dapat dinaik taraf sebagai pusat kebudayaan dan kreativiti, sekali gus dapat menarik lebih ramai pelawat, pelabur dan juga penduduk untuk berkunjung dan menikmati keunikan budaya Malaysia di ibu kota negara ini," katanya ketika memberi ucapan pelancaran Program Geran Kreatif KL pada Selasa.
Namun pun begitu, tambahnya, usaha ini adalah sebuah usaha jangka panjang yang memerlukan usaha konsisten dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, baik sektor swasta, komuniti dan orang awam untuk mencari sebuah penyelesaian yang kreatif dan inovatif.
"Justeru, saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu menjayakan usaha ini kerana sudah pasti pada penghujungnya manfaat ini adalah untuk semua pihak.
Program Geran Kreatif KL ini adalah sebahagian daripada inisiatif nasional yang bertumpukan kepada peremajaan Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai sebuah daerah kreatif dan kebudayaan menerusi usaha komprehensif bermula dengan radius 3km sekitar kawasan pertemuan Sungai Klang dan Gombak.
Ia direka mengikut beberapa tema utama iaitu Peremajaan Ruang,Penyemaian dan/atau Pengembangan Perniagaan Kreatif & Budaya, Kandungan dan /atau Pengaktifan Kreatif,Peningkatan Daya Tahan Alam Sekitar, Digitalisasi dan Pembinaan Kapasiti.
Program ini juga bertujuan untuk memenuhi keperluan dan menangani pelbagai cabaran di Pusat Bandar Kuala Lumpur dari meningkatkan ruang awam hingga menggalakkan inovasi digital dengansetiap tema memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan pusat bandar.