Kerajaan bersiap siaga buka PKRC baharu ikut keperluan semasa COVID-19
Bernama
Jun 24, 2021 21:30 MYT
Jun 24, 2021 21:30 MYT
ALOR GAJAH: Kerajaan sentiasa bersiap siaga untuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) baharu mengikut keperluan semasa perkembangan kes positif COVID-19 di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata semakan berkaitan keperluan itu akan dilakukan dari semasa ke semasa walaupun setakat ini tiada keperluan mendesak diterima di mana-mana kawasan atau negeri untuk membuka PKRC baharu.
"Kami ada kumpulan pegawai yang telah ke Sabah dan Sarawak serta tempat-tempat di pantai timur untuk mendapatkan data-data dan kepastian berkaitan keperluan mewujudkan PKRC tambahan.
"Jika terdapat keperluan untuk membuka PKRC baharu, kami sentiasa bersedia dan segera melaksanakannya. Wabak ini adalah sesuatu yang kita tidak nampak," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Kecemerlangan, Kejuruteraan dan Teknologi di sini hari ini.
Beliau berkata rakyat juga diingatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di negara ini.
Dalam perkembangan lain, beliau meminta semua pemimpin politik berganding bahu membantu kerajaan menghadapi cabaran atau kesan penularan wabak COVID-19 yang masih berada pada tahap membimbangkan.
Mohd Redzuan berkata tanggungjawab itu perlu digalas bersama-sama agar kesukaran dapat diharungi dengan baik, sekali gus ekonomi negara dapat segera dibangunkan demi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA