Kerajaan bersedia lanjutkan PJKM - Rosol
Bernama
Mac 6, 2022 05:52 MYT
Mac 6, 2022 05:52 MYT
MARANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersedia melanjutkan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang sepatutnya berakhir bulan ini, tetapi cadangan itu bergantung kepada pemain sektor peruncitan untuk terus bekerjasama menjayakannya.
Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata ini berikutan sambutan menggalakkan daripada pengguna terhadap program tersebut yang diadakan sejak Disember lepas, sehingga terdapat lokasi PJKM yang mencapai jualan hampir RM500,000 dalam tempoh dua hari.
"Ada cadangan untuk sambung program ini, namun bergantung kepada pemain industri peruncitan seperti pembekal dan pasar raya untuk bekerjasama dengan kerajaan lagi demi kebaikan rakyat," katanya kepada pemberita selepas meninjau PJKM di Dataran Masjid Mak Kemas, Bukit Payong di sini, semalam.
Dalam hal ini, Rosol berkata kementerian juga telah menyediakan sebuah lori yang akan dijadikan sebagai pasar raya bergerak dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah kepada pengguna.
Menurutnya lori 'mart' tersebut akan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi dengan yang pertama dibawa ke Johor, mungkin pada minggu hadapan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPDNHEP bercadang memberi bantuan kepada peniaga dan peruncit yang terjejas akibat banjir di Terengganu dan Kelantan baru-baru ini, berdasarkan keperluan masing-masing.
"Kami ingin membantu meringankan beban peniaga yang terkesan. Contohnya, saya pergi ke Tapah (Kampung Tapah di Hulu Terengganu) semalam ada peniaga yang dapur digunakan untuk berniaga rosak, jadi kami akan berikan dia dapur baharu. Kami akan lihat kes demi kes," katanya.
Sementara itu, Rosol mengakui ada menerima laporan tidak rasmi berkaitan dakwaan produk gegelang sotong yang dikatakan diperbuat daripada dubur atau usus babi, seperti yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp baru-baru ini.
"Kami sedang menunggu siasatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai pengesahan logo halal yang digunakan pada pembungkusan produk itu.
"Kepada pengguna sekiranya terdapat kemusykilan terhadap sesuatu barangan makanan, segera laporkan kepada KPDNHEP dengan memberikan lokasi sebenar ia dijual dan pihak kami akan segera menjalankan pemeriksaan. Tindakan wajar akan diambil sekiranya peniaga tersebut didapati bersalah," katanya.
-- BERNAMA