Kerajaan beri tumpuan R&D untuk tingkat produktiviti getah

Ridauddin Daud
Oktober 26, 2023 10:45 MYT
Fadillah berkata, teknologi genom untuk mengenal pasti klon getah berkualiti tinggi juga antara usaha jangka masa panjang kerajaan bagi meningkatkan produktiviti getah.
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan terhadap aspek kajian dan pembangunan bagi meningkatkan produktiviti getah sekali gus menambah pendapatan penoreh, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pelbagai kajian dilakukan termasuk berkaitan penyakit seperti ‘akar putih’ dan juga kaedah torehan lebih baik untuk hasil lebih banyak.
Menurut beliau, teknologi genom untuk mengenal pasti klon getah berkualiti tinggi juga antara usaha jangka masa panjang kerajaan bagi meningkatkan produktiviti getah.
Seterusnya, kata beliau ialah dalam bidang mekanisasi dan automasi, sama ada dalam segi penanaman benih menggunakan mesin dan menggunakan torehan secara automatik.
“Ini kita sedang lihat apa yang kita boleh pertingkatkan. Dalam erti kata lain kita tingkatkan dari segi ‘research and development’ (R&D), dari segi benih, klon lebih baik, penghasilan lebih baik, daya tahan penyakit dan sebagainya.
“Ia adalah untuk meningkatkan produktiviti dan hasil pengeluaran kepada pekebun kecil. Pada masa sama, pemasaran. Di sini kita nak kembangkan agar produk kita berkualiti yang boleh dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis, menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN - Kuala Pilah) yang bertanya pelan jangka masa panjang kerajaan untuk meningkatkan produktiviti getah.
#Fadillah Yusof #Dewan Rakyat #Menteri Perladangan dan Komoditi #harga getah
;