Kerajaan beri jaminan selesai isu lepasan ISMP tiada penempatan
Bernama
Disember 21, 2023 18:28 MYT
Disember 21, 2023 18:28 MYT
TANJUNG MALIM: Kerajaan hari ini memberi jaminan akan menyelesaikan isu lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang belum mempunyai penempatan di sekolah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kelulusan telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan supaya mengisi kekosongan guru pada tahun depan.
"Insya-Allah kita selesaikan... Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dah umumkan bahawa (terdapat) penambahan yang ketara bagi mengisi kekosongan guru pada 2024.
"... yang penting ialah pada tahun 2024, kali pertama ada lonjakan penambahan guru di sekolah menengah di negara kita," katanya pada sesi Temu Anwar Dialog Mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai laporan media sebelum ini berkaitan isu sejumlah 4,390 lepasan ISMP dari 2011 hingga 2020 yang belum mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah.