Kerajaan beri jaminan kesejahteraan sosial rakyat - Agong
Sahlizah Mohamed
Mac 11, 2019 16:20 MYT
Mac 11, 2019 16:20 MYT
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kerajaan memberi jaminan kesejahteraan sosial rakyat terutama golongan kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang kurang upaya akan terus diberi pembelaan.
Pada masa yang sama, semua pihak terutamanya sektor swasta dan badan bukan kerajaan hendaklah bersama-sama memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan melindungi golongan mudah terjejas.
“Beta juga mengalu-alukan usaha kerajaan untuk memperkasakan golongan orang kurang upaya melalui pelan induk aksesibiliti dan polisi inklusif seperti dasar sifar penolakan.
“Kemajuan dan kesejahteraan negara berkait rapat dengan tahap kesihatan rakyat. Bagi mencapai maksud tersebut, kerajaan beta akan mengukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan kesihatan sedia ada dengan mempertingkat fasiliti kesihatan serta memperkenalkan skim saringan dan perlindungan kepada golongan B40,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan titah diraja selepas merasmikan istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua, Parlimen Ke-14 pada Isnin.
Justeru, baginda berharap agar rakyat berpendapatan rendah mampu mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik selaras dengan tuntutan maqasid syariah (dikehendaki syarak) yang menekankan penjagaan nyawa, akal dan keturunan.
Dalam pada itu, Yang Di-Pertuan Agong turut berharap gaya hidup bersukan dan berekreasi terus digalakkan di semua peringkat untuk membina Malaysia yang sihat dan cergas.