Kerajaan bentang usul kecualikan Raja-Raja Melayu, YDP Negeri, pewaris daripada mengundi
Firdaus Azil
Mac 24, 2022 12:49 MYT
Mac 24, 2022 12:49 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali kedua.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, melalui usul tersebut, pindaan dicadangkan agar Perkara 119A dapat ditambah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Melalui pindaan tersebut, ia bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada Raja Pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan, dan mana-mana orang lain.
“Secara dasarnya, pengecualian pendaftaran pemilih secara automatik kepada Raja Pemerintah dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal Raja, waris ganti dan waris lain Raja dan pasangan, dan mana-mana orang lain adalah perlu bagi memastikan terdapat proses semak dan imbang dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Perkara ini juga selaras dengan keistimewaan dan kewibawaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kedudukan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Negeri,” katanya lagi.
Terdahulu, Wan Junaidi, yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, lanjutan daripada pelaksanaan kelayakan umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, setiap warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas yang memenuhi syarat kelayakan akan didaftarkan secara automatik tanpa sebarang pengecualian.
Perkara tersebut, katanya lagi, merangkumi Raja-Raja Melayu dan pasangan, Pewaris dan pasangan serta Yang diPertua Negeri dan pasangan.
Selanjutnya, beliau berkata, perkara itu telah menimbulkan persoalan mengenai keperluan pengecualian untuk Raja-Raja Melayu dan pasangan, pewaris dan pasangan serta Yang di-Pertua Negeri dan pasangan daripada didaftarkan sebagai pemilih secara automatik.
Wan Junaidi berkata, golongan berkenaan dilihat perlu kekal berkecuali, dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik (above politics).
“Bagi maksud pengecualian tersebut, satu pindaan kepada pelembagaan perlu dilaksanakan, dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada 12 November 2021,” katanya lagi.
Wan Junaidi berkata, pindaan RUU yang dicadangkan melalui Perkara baharu 119A adalah seperti berikut:
“Ketidakpakaian Perkara 119 kepada Raja-Raja, dsb. melalui perintah 5 119A.
“Walau apapun Perkara 119, Yang di-Pertuan Agong boleh, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, menetapkan suatu pengecualian kepada mana-mana Raja dan isterinya, mana-mana Yang di-Pertua Negeri dan isterinya, mana-mana bakal raja, waris ganti dan waris lain Raja dan isteri mereka, dan mana-mana orang lain, daripada pemakaian Perkara 119 dan apa-apa undang-undang berkaitan dengan pendaftaran pemilih,” katanya lagi.