Kerajaan benarkan penglibatan NGO berkaitan kesihatan bantu program vaksinasi - Dr Adham

Astro Awani
Julai 18, 2021 17:24 MYT
Dr Adham berkata usaha itu diharap dapat membantu mereka yang memerlukan termasuk mereka yang tinggal di pedalaman, masyarakat Orang Asli, pesakit yang terlantar di rumah dan gelandangan. - Gambar fail
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan membuka penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), bermula hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata ia bagi mempercepatkan sasaran imuniti berkelompok bagi golongan yang menghadapi kesukaran untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disebabkan oleh faktor geografi.
Ia termasuk mereka yang tinggal di pedalaman, masyarakat Orang Asli, pesakit yang terlantar di rumah dan gelandangan.
“NGO berkaitan kesihatan yang berminat perlu memenuhi keperluan dan kriteria yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Mereka perlu berdaftar dengan ProtectHealth yang akan memberikan latihan, garis panduan, serta melaksanakan pemantauan terhadap program vaksinasi ini. Maklumat lanjut dan pendaftaran melalui ProtectHealth boleh dibuat secara atas talian sekarang di laman web www.protecthealth.com.my bermula hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan ke PPV Integrasi di Dewan Taman Nusantara, Gelang Patah, di sini hari ini.
Di Johor, 11 PPV Integrasi telah dibuka yang melibatkan pengamal perubatan.
Tiga PPV terbabit iaitu PPV Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, PPV Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Ledang dan PPV Dewan Jubli Intan, Muar dibuka pada 15 Julai lalu manakala PPV Dewan Besar Chee Ann Khor, Yong Peng dibuka hari ini.
Tujuh lagi PPV Integrasi pula akan dibuka esok dengan keseluruhan kapasiti 26,000 dos sehari.
#vaksin #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Universiti Tun Hussein Onn Malaysia #program vaksinasi #PPV #PICK #Menteri Kesihatan #Dr Adham Baba
;