Kerajaan belum putuskan lanjutan tempoh konsesi PLUS

Fauzi Suhaimi
November 23, 2020 10:56 MYT
Eddin Syazlee berkata perkara itu perlu diteliti semula dengan mengambil kira syarat unjuran hasil keuntungan perjanjian antara PLUS dan kerajaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perjanjian untuk melanjutkan tempoh konsesi sehingga tahun 2058 antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya Plus Malaysia Bhd (PLUS) masih belum diputuskan setakat hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata perkara itu perlu diteliti semula dengan mengambil kira syarat unjuran hasil keuntungan menerusi perjanjian itu di antara PLUS dan kerajaan.
"Perjanjian ini adalah antara perkara yang sedang diteliti kerajaan kerana ia melibatkan tol dan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan khususnya dalam aspek kenaikan harga dan tempoh konsesi berkenaan.
"Ini bagi memastikan keseimbangan beban hutang kerajaan, rakyat dan konsesi," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini memaklumkan kerajaan dianggar dapat menjimatkan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi PLUS selama 38 tahun lagi.
Dr Mahathir berkata penjimatan itu disebabkan kerajaan tidak akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS, selepas tempoh konsesi dilanjutkan sehingga 2058.
Dalam pada itu, Eddin Syazlee (Bersatu - Kuala Pilah) berkata kerajaan pada masa ini masih mengkaji dan meneliti beberapa pilihan bagi tujuan meringankan beban yang ditanggung kerajaan dan keseimbangan keperluan pengguna lebuh raya.
"Pada masa sama bebanan kewangan kerajaan terhadap pilihan ini akan dipertimbangkan dan mengambil kira impak ekonomi, keyakinan pelabur dalam dan luar negara serta kemampuan kewangan kerajaan secara keseluruhannya.
"Sehubungan itu, Memorandum Jemaah Menteri (MJM) membabitkan beberapa pihak mengenai hala tuju industri lebuh raya dijangka akan dibentangkan pada pertengahan bulan depan," katanya.
#Mahdzir Khalid #konsesi lebuh raya #Lebuhraya PLUS #Perjanjian Konsesi #tol #Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith #Mahathir Mohamad #Datuk Seri Mahdzir Khalid
;