Kerajaan belum putuskan laksana lesen edar tembakau dan keluaran tembakau - MPIC

Bernama
Disember 29, 2015 08:46 MYT
Kerajaan masih belum memutuskan untuk melaksanakan pelesenan bagi pengedaran tembakau dan keluaran tembakau termasuk rokok. - Gambar Hiasan
Kerajaan masih belum memutuskan untuk melaksanakan pelesenan bagi pengedaran tembakau dan keluaran tembakau termasuk rokok.
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) berkata dalam usaha itu, MPIC serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan meneruskan sesi konsultasi bersama pihak berkepentingan mengenai perkara itu.
"Beberapa siri konsultasi oleh MPIC dan LKTN diadakan dengan pelbagai pihak sejak 2011. Sesi konsultasi terkini pada 23 Jun 2015 dan dihadiri wakil-wakil industri tembakau, pengedar dan peruncit termasuk Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurut kenyataan itu, LKTN dipertanggungjawabkan untuk mengawal selia industri tembakau di Malaysia melalui Akta Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara 2009.
Dalam menjalankan fungsi LKTN di bawah akta itu, Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (Pelesenan Tembakau Dan Keluaran Tembakau) 2011 (Peraturan Pelesenan) diwartakan pada 22 Jun 2011.
MPIC mengeluarkan kenyataan itu bagi menjelaskan isu penguatkuasaan pelesenan rokok yang dibangkitkan Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura dalam akhbar pada Isnin.
Timbalan Setiausaha Kehormat persatuan itu, Lim Cheng Hui dilaporkan berkata melalui peraturan baharu tersebut, setiap peniaga yang mahu menjual rokok perlu mendapatkan lesen khusus.
Katanya langkah itu akan membebankan golongan peniaga kecil kerana keuntungan jualan rokok agak kecil sekitar lapan peratus sahaja.
#Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara #lktn #MPIC #rokok #tembakau
;