Kerajaan belum ada kata putus haramkan Dego Ride - Nancy Shukri
Bernama
Februari 20, 2017 18:08 MYT
Februari 20, 2017 18:08 MYT
Kerajaan tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan mengharamkan perkhidmatan 'Dego Ride' di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.
Katanya walaupun perkhidmatan itu dilihat sebagai sesuatu yang inovatif dalam industri pengangkutan awam negara, namun ia perlu dikaji secara teliti dahulu sebelum membuat keputusan.
"Kabinet tidak ada setuju ataupun tidak setuju mengenainya (Dego Ride) kerana setakat ini kita masih tidak ada lagi undang-undang berkaitan dengannya.
"Kita kena kaji dahulu tekanan pasaran Dego Ride sebagaimana perkhidmatan Uber kerana ia dilihat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna, selain platform kepada golongan berpendapatan bawah 40 peratus (B40) menjana pendapatan sampingan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Transformasi Bas Ekspres, di sini, hari ini.
Rabu lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata kabinet bersetuju dengan keputusan kementerian berkenaan untuk mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride atas faktor keselamatan.
Nancy berkata keputusan itu disuarakan Kementerian Pengangkutan untuk melarang perkhidmatan Dego Ride belum muktamad, justeru ia terbuka kepada penilaian dan perbincangan lanjut.
"Saya ingin mengambil pendekatan neutral dalam isu Dego Ride ini kerana kita tidak mahu menyekat inovasi pengangkutan awam di Malaysia.
"Berhubung apa yang dikatakan Kementerian Pengangkutan sebelum ini, setahu saya kabinet belum ada kata putus lagi untuk mengharamkan Dego Ride," katanya.
Selasa lalu, Dego Ride mengarahkan kesemua penunggang motosikalnya menghentikan operasi serta-merta atas arahan Kementerian Pengangkutan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj yang turut menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan tergesa-gesa, berkata kehidupan isi rumah kira-kira 6,000 penunggang Dego Ride terjejas kerana mereka menjadikan perkhidmatan itu sebagai punca pendapatan.
-- BERNAMA