Kerajaan belanja RM1.4 bilion untuk tanggung kos banduan

Dania Zainuddin
Disember 11, 2018 11:12 MYT
Setakat ini, dilaporkan terdapat 15,600 banduan di penjara Malaysia yang terdiri daripada warga asing. - Gambar hiasan
Kos bagi menyelenggara dan operasi penjara termasuk makan dan minum banduan tempatan serta warga asing mencecah RM1.4 bilion setahun.
Bimbang dengan kos yang dilihat terlalu banyak itu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum mencadangkan program pertukaran banduan asing di peringkat ASEAN dibangunkan dalam menangani masalah kos serta kepadatan penjara di Malaysia ketika ini.
Difahamkan, kos penjagaan setiap banduan untuk setiap hari adalah RM41.50, dan kerajaan membelanjakan RM647,400 setiap hari untuk banduan asing.
"Program pertukaran ini akan membolehkan banduan warga asing dipindahkan ke negara asal untuk menyelesaikan baki hukuman mereka.
"Ketika ini, perbelanjaan keseluruhan termasuk penjagaan kesihatan, makan dan minum kesemua banduan mencecah RM1.4 bilion setahun.
"Saya berharap negara-negara ASEAN dapat berbincang dalam mewujudkan program ini, supaya dapat membantu dari segi kos," katanya.
Richard ditemui pemberita selepas merasmikan Dialog Hak Asasi Manusia Aras Tinggi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan ASEAN (AICHR) dan Majlis Ketua-ketua Hakim ASEAN (CACJ): Hak-hak Tertuduh dalam Kes Jenayah di sini, pada Selasa.
Dilaporkan setakat ini, terdapat 15,600 banduan yang ditempatkan di penjara Malaysia adalah warga asing.
Sementara itu, Richard memberitahu sebanyak 503,380 kes jenayah telah didaftarkan melalui sistem pengadilan negara dari Ogos hingga Oktober tahun ini.
"Sebanyak 96 peratus daripadanya membabitkan kes di Mahkamah Majistret dan majoriti kes yang berdaftar adalah kes kecil seperti pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Sabah dan Sarawak mencatatkan penglibatan penjenayah dalam kalangan PATI dan warga asing tertinggi," katanya.
#ASEAN #jenayah #kerajaan #mahkamah #Mahkamah Majistret #Malaysia #operasi #pati #penjara #warga asing