Kerajaan belanja lebih RM5 juta untuk bina, baik pulih rumah veteran ATM - Adly
Bernama
September 21, 2023 05:45 MYT
September 21, 2023 05:45 MYT
KUCHING: Kementerian Pertahanan membelanjakan lebih RM5 juta untuk pembinaan rumah baharu serta baik pulih veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata tahun ini sejumlah 44 pembinaan rumah baharu untuk anggota tentera di seluruh negara telah diluluskan.
"Sebahagian daripada pembiayaan dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan sebahagian lagi melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan kos pembinaan bagi di Semenanjung RM85,000 manakala Sabah dan Sarawak RM95,000," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri penyerahan rumah Program Inisiatif Perumahan JHEV di Kampung Tanjung Bowang, Singai di sini, pada Khamis.
Bagi Zakaria Abdullah, 65, yang merupakan veteran ATM dan penerima rumah di bawah progam itu, beliau amat bersyukur kini telah mempunyai rumah sendiri setelah terpaksa menyewa rumah sejak tahun 2000.
"Sebelum itu saya duduk menumpang di rumah orang tua (ibu bapa) saya, kemudian ambil keputusan untuk menyewa. Apabila dapat tahu mengenai program itu, saya pun memohon dan buat semakan di SPNB. Ini kali pertama saya dapat bantuan rumah," katanya.
Sementara itu Kementerian Pertahanan dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata kriteria pemilihan Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM adalah terbuka kepada veteran atau balu yang berpendapatan isi rumah di bawah jadual Pendapatan Garis Kemiskinan yang telah ditetapkan.
Melalui kuota program ini, veteran ATM akan menerima dua peringkat bantuan iaitu subsidi di bawah Skim Rumah Mesra Rakyat yang dikawal selia oleh SPNB berjumlah RM20,000 dan bantuan perumahan JHEV ATM berjumlah RM 65,000 untuk Semenanjung, manakala bagi Sabah dan Sarawak berjumlah RM75,000.
-- BERNAMA