Kerajaan beku kenaikan tol di 21 lebuh raya, kos RM994 juta untuk manfaat rakyat
Asyraf Roslan, Eka Roslee
Disember 27, 2018 17:13 MYT
Disember 27, 2018 17:13 MYT
Kerajaan memutuskan untuk membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya seluruh negara pada mesyuarat kabinet mingguannya 12 Disember lalu.
Pembekuan itu dianggarkan melibatkan kos bayaran pampasan berjumlah RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya berkenaan bagi tahun 2019.
Selain pembekuan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya secara komprehensif itu, turut dipersetujui, pembekuan kadar tol bagi bas di lapan lebuh raya berasingan pada tahun sama dan pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang (Jambatan Pertama Pulau Pinang), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) dan Lebuhraya Laluan Kedua di Johor bermula 1 Januari 2019.
Semua itu akan melibatkan kos kerajaan yang dianggarkan sebanyak RM994.43 juta bagi tahun hadapan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.
"Perbelanjaan ini adalah untuk memanfaatkan rakyat Malaysia.
"Pembekuan komprehensif ini adalah berasaskan kepada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan untuk meringankan beban sara hidup yang dipikul oleh rakyat Malaysia," katanya.
Bagi pembekuan terhadap kenaikan kadar tol untuk kenderaan Kelas 5 (bas) itu, ia melibatkan anggaran kos RM1.68 juta.
Sementara itu, penghapusan tol bagi penunggang motosikal di dua jambatan di Pulau Pinang dan Pautan Kedua di Johor dianggar memerlukan peruntukan RM20 juta setahun daripada kerajaan untuk bayaran pampasan mulai 1 Januari 2019.
Lim menambah, kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memenuhi janji manifesto yang terkandung dalam Buku Harapan.
Langkah pembekuan kenaikan tol ini, katanya, adalah sebahagian daripada usaha tersebut.