Kerajaan bakal tetapkan harga siling penerbangan domestik - Aziz Kaprawi
Harits Asyraf Hasnan
Mac 19, 2018 11:53 MYT
Mac 19, 2018 11:53 MYT
Kerajaan akan menetapkan harga siling bagi penerbangn domestik susulan kenaikan tambang yang mencecah hingga lima kali ganda terutama pada musim perayaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sedang menjalankan kajian tersebut bagi memastikan wujud situasi menang-menang antara pengguna dan syarikat penerbangan.
"Sebab itu, kerajaan hari ini sedang merangka penetapan harga siling. Seperti saya sebutkan tadi, kajian MAVCOM mendapati, semasa perayaan, harganya naik sehingga lima kali ganda.
"Mereka (MAVCOM) hari ini sedang merangka untuk bekerjasama dengan pihak industri bagi mengurangkan kadar keuntungan. Jadi, kalau harga biasa RM160, atau pada musim perayaan RM180, kita akan turunkan kepada kadar sewajarnya," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) yang bertanya mengenai langkah yang diambil MAVCOM bagi mengatasi kenaikan harga melampau penerbangan domestik terutama pada musim perayaan.
Tambah Aziz, kajian harga siling penerbangan domestik itu dijangka selesai pada pertengahan tahun ini.
Beliau pada masa sama meminta pengguna untuk mendapatkan tiket penerbangan lebih awal bagi mengelakkan kenaikan harga mendadak.
Bagaimanapun, kenyataan Aziz itu ditangkis Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) yang turut mengakui pernah menjadi mangsa "syarikat tambang murah yang tidak murah".
#Ab Aziz Kaprawi
#domestik
#harga siling
#Malaysia
#mavcom
#penerbangan
#Suruhanjaya Penerbangan Malaysia