Kerajaan bakal tanggung kos rawatan penyakit EVALI RM369 juta setahun pada 2030 - Dr Zaliha
Bernama
November 30, 2023 18:35 MYT
November 30, 2023 18:35 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka menanggung kos rawatan kira-kira RM369 juta setahun pada 2030 bagi penyakit rokok elektronik atau kerosakan paru-paru berkaitan penggunaan produk vaping (EVALI) sekiranya tiada kawalan undang-undang dilaksanakan.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata, Kementerian Kewangan menganggarkan hasil kutipan cukai vape kira-kira RM500 juta setahun, namun kajian menunjukkan kos rawatan bagi penyakit EVALI adalah RM150,000 bagi setiap pesakit.
"Ini dijangka meningkat sehingga RM369 juta setahun pada 2030. Jika tiada kawalan dibuat berkaitan rokok elektronik atau vape melalui rang undang-undang ini, maka lebih ramailah yang akan terdedah kepada risiko komplikasi penyakit akibat penggunaan rokok elektronik," katanya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata berdasarkan laporan kos langsung penjagaan penyakit tidak berjangkit (NCD) di Malaysia dikeluarkan pada 2022, jumlah kos rawatan bagi NCD utama yang boleh dikaitkan dengan komplikasi merokok seperti kardiovaskular, kanser dan diabetes pada 2017 dianggarkan berjumlah RM9.65 bilion.
Beliau berkata unjuran anggaran rawatan untuk merawat tiga penyakit kronik kardiovaskular, kanser dan penyakit paru-paru kronik akibat komplikasi merokok pula adalah RM8.77 bilion menjelang 2030.
Kos rawatan itu katanya jauh lebih tinggi daripada kutipan cukai rokok yang dianggarkan sekitar RM2 hingga 3 bilion setahun manakala kajian pada 2019 melaporkan tabiat merokok dianggarkan menyebabkan kehilangan produktiviti sebanyak RM275.3 bilion.
Terdahulu pada sesi perbahasan, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) dan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) bertanyakan mengenai kos rawatan penyakit berbanding kutipan cukai produk merokok.
Berhubung peruntukan generasi penamat rokok (GEG) yang digugurkan daripada rang undang-undang itu, Dr Zaliha berkata perkara itu akan diteliti dari semasa ke semasa selepas penguatkuasaan serta memantau kesan rang undang-undang itu terhadap penurunan prevalens merokok.
"Semangat pada hari ini adalah untuk meluluskan terlebih dahulu rang undang-undang yang sangat komprehensif ini terhadap produk merokok, bahan-bahan merokok dan produk mengganti rokok dan ia perlu dilaksanakan segera...insya-Allah, jika ada keperluan pada ketika itu, kita boleh bawa kembali isu GEG ini," katanya.
Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 itu lulus dengan suara majoriti selepas dibahas 27 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
-- BERNAMA