Kerajaan bakal semak semula pemberian visa untuk tingkat pelancongan

Tan Su Lin
Ogos 28, 2015 08:33 MYT
Najib ketika berucap di Program Program Sejam Bersama Perdana Menteri anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Kuala Lumpur pada Khamis. - Gambar Astro AWANI
Kerajaan sedang mengkaji insentif bagi memudahkan pelancong asing masuk ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata antaranya termasuk pelaksanaan visa elektronik dan semakan semula pemberian visa kepada pelancong asing.
Beliau berkata, langkah itu bagi menangani penurunan kemasukan pelancong asing ke Malaysia.
Kerajaan, katanya, memandang serius isu berkenaan susulan penurunan jumlah kemasukan pelancong asing sebanyak 8.6 peratus pada suku pertama 2015 berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Insentif akan dikaji semula termasuk isu berkaitan visa kedatangan pelancongan, kadar visa dan visa elektronik untuk memudahkan kemasukan pelancong ke negara ini.
"Lapangan terbang dan syarikat penerbangan juga perlu terlibat terhadap usaha meningkatkan penerbangan terus serta kesalinghubungan. Kedua-duanya terbukti memberi kesan langsung kepada peningkatan kemasukan pelancong." katanya ketika berucap pada Program Sejam Bersama Perdana Menteri anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di ibu negara, pada Khamis.
Menurut Najib, penurunan kemasukan pelancong asing bukan hanya dialami Malaysia, tetapi turut membabitkan negara lain di rantau ASEAN.
"Pastinya beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan termasuk tragedi penerbangan melibatkan Malaysia Airlines dan Air Asia pada 2014 selain beberapa lokasi pelancongan tempatan yang terjejas akibat banjir pada akhir tahun lalu dan awal tahun ini.
"Ia juga turut dipengaruhi situasi ekonomi global yang meninggalkan kesan terhadap sektor pelancongan. Kita perlu sedar bahawa keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu meninggalkan kesan negatif bukan sahaja kepada Malaysia tetapi negara ASEAN lain," katanya.
Sementara itu, Presiden MATTA, Hamzah Rahmat berkata, peningkatan dalam kemasukan pelancongan susulan kejatuhan nilai ringgit masih belum ketara buat masa ini.
Katanya, hasilnya hanya akan dapat dilihat selepas beberapa bulan, namun ia juga bergantung kepada faktor nilai mata wang negara lain.
"Tidak bererti hari ini nilai ringgit jatuh dan esok orang berpusu-pusu masuk negara. Ia mengambil masa mungkin satu hingga dua bulan baru dan peningkatan kemasukan pelancong akan dapat dilihat.
"Ia juga terpulang dari negara mana, sama ada negara berkenaan mempunyai nilai mata wang lebih kukuh atau tidak kerana ketika ini bukan sahaja Malaysia yang menyaksikan kejatuhan nilai mata wang, perkara sama turut dialami negara-negara lain. Jadi kita kena lihat dulu." katanya ketika ditemui Astro Awani selepas majlis berkenaan, pada Khamis.
Terdahulu, Hamzah dalam ucapannya mencadangkan supaya kerajaan memperkenal visa elektronik atau 'e-visa' seperti mana diguna pakai di negara-negara seperti Australia.
Sistem itu, katanya, lebih cekap dan selamat dan pada masa sama dapat mengurangkan kerenah birokrasi sekaligus menjadikan ia lebih mudah untuk pelancong untuk mendapatkan visa dalam talian.
#Hamzah Rahmat #MATTA #Najib Razak
;