Kerajaan baharu perlu kembalikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia

Rahimah Abdullah
Ogos 19, 2021 06:00 MYT
CHRIS: Kestabilan politik itu sangat penting; tidak jadi masalah siapa yang jadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu yang akan dibentuk dicadang mengemukakan suatu akta atau dasar di Parlimen yang mampu memberi keyakinan kepada pelabur asing dan domestik untuk melabur dalam negara.
Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia (DPDM) Chris Daniel Wong berkata, pelabur juga akan yakin terhadap negara jika kerajaan baharu mampu membuktikan pentadbiran yang stabil dan kekal sehingga pilihan raya umum (PRU) nanti.
"Saya mencadangkan supaya pada persidangan Parlimen September ini, mereka mengemukakan akta atau mungkin dasar yang mampu memberi keyakinan kepada pelabur asing dan domestik.
"Mereka perlu menunjukkan bahawa pentadbiran baharu ini adalah kerajaan yang stabil dan ia akan terus berada di situ sehingga PRU seterusnya.
"Daripada situ, akan lebih ramai pelabur baharu akan masuk ke dalam negara," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9?
Malah, kata Chris, kestabilan ekonomi negara akan dapat menyediakan lebih banyak pekerjaan baharu kepada rakyat.
Ujarnya, rakyat memerlukan pentadbiran kerajaan yang stabil dan tidak meletakkan kepentingan parti atau peribadi melebihi kepentingan negara.
Ia juga akan dapat melancarkan proses membuat keputusan dalam soal ekonomi dan kesihatan rakyat yang berdepan pandemik COVID-19.
"Kestabilan politik itu sangat penting. Tidak menjadi masalah siapa yang menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.
"Namun, situasi politik dan kerjasama politik lebih baik adalah lebih penting," tambah Chris.
#Astro #Astro Awani #COVID-19 #ekonomi #Malaysia #pandemik #Parlimen #Perdana Menteri #pilihan raya umum #Timbalan Perdana Menteri #PRU #pilihan raya #Dewan Perniagaan Digital Malaysia #Chris Daniel Wong
;