Kerajaan baharu Malaysia didesak beri perhatian khusus isu Palestin
Astro Awani
Mei 18, 2018 20:46 MYT
Mei 18, 2018 20:46 MYT
Pas Pahang hari ini melahirkan kebimbangan berhubung tragedi berdarah yang menyaksikan ramai penduduk Palestin terbunuh ketika bertempur dengan tentera Israel di Gaza.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu, mendesak kerajaan Malaysia yang baharu turut memberikan perhatian khusus kepada tunjuk perasaan besar-besaran di wilayah-wilayah Palestin, yang tercetus akibat pembukaan Kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmaqdis.
Tindakan itu adalah konsisten dengan pendirian Malaysia selama ini malah Malaysia dipandang tinggi oleh negara-negara Islam mengenai isu berkait Palestin.
"Memang kita berharap sangat kerajaan yang baharu kali ini benar-benar dapat memainkan peranannya diperingkat antarabangsa dalam menyelesaikan kemelut umat Islam di Palestin.
"Kita telah berjuang sekian lama, kita telah bersama dengan penderitaan rakyat Palestin sekian lama. Dengan perubahan kerajaan ini, kita mengharapkan ada sinar baharu kepada orang Islam terutama sekali di Palestin dan juga di negara kita," kata Andansura.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Pahang, Hazmi Dibok berkata, pihaknya mengalu-alukan sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad dapat memainkan peranannya dalam menyelesaikan isu di Palestin.
"Berkait Dr Mahathir, sekiranya dia boleh memainkan peranan sebagaimana juga Turki dan Rusia, malah siapa pun selain daripada mereka, kita sangat mengalu-alukan. Biarlah lebih ramai negara umat Islam yang bersatu menyuarakan isu Palestin ini," katanya.
Hazmi berkata demikian ketika Himpunan Aman Bantah Kekejaman Israel di Kuantan yang turut dihadiri hampir 200 orang sejurus selepas solat Jumaat hari ini.
Tunjuk perasaan secara besar-besaran oleh penduduk Palestin berlangsung di Gaza pada 14 Mei lalu ketika Kedutaan AS dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, sebuah kota suci bagi umat Islam, Kristian dan Yahudi.