Kerajaan baharu dicadang wujudkan agenda baharu untuk Orang Asli

Rahimah Abdullah
Ogos 24, 2021 23:58 MYT
Kerajaan baharu disaran mewujudkan suatu agenda baharu untuk pembangunan dan hak Orang Asli atau Orang Asal di negara ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu disaran mewujudkan suatu agenda baharu untuk pembangunan dan hak Orang Asli atau Orang Asal di negara ini.
Ketua Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Prof Datuk Dr Denison Jayasooria berkata, isu pendidikan dan pendigitalan merupakan antara perkara utama yang perlu ditekankan kerajaan ketika negara sedang berdepan pandemik COVID-19.
"Kerajaan perlu meneroka perkara baharu dalam pendigitalan, perhubungan dan kemudahan kepada komuniti ini dalam keadaan yang lebih dinamik daripada menggunakan model pendidikan tradisional.
"Keduanya ialah pasaran produk mereka di mana komuniti ini boleh mendapatkan logistik dan hubungan kepada pasar raya untuk jualan.
"Contohnya, komuniti Orang Asal dilihat terkesan kerana lokasi pemasaran ditutup dan ini adalah kesan daripada kurangnya keupayaan digital dan logistik," katanya semasa menjadi salah seorang panel diskusi bertajuk "How are Orang Asli/Asal communities building back better?" anjuran UNDP melalui Zoom pada Selasa.
Isu melibatkan Orang Asli dan Orang Asal ini katanya memerlukan penyelesaian jangka panjang dan bukan hanya bergantung kepada penyelesaian jangka pendek seperti Bantuan Bakul Makanan.
"Pembangunan mampan Orang Asli dan Asal perlu diberi perhatian terutama dalam menghadapi pandemik COVID-19 pada ketika ini,"ujarnya.
Selain itu, hak tanah Orang Asli dan isu kontrak sosial juga perlu ditekankan pentadbiran kerajaan.
Mengulas isu kemiskinan, beliau melihat masih ada agensi kerajaan yang masih menggunakan pendekatan Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI) yang lama walaupun ia telah disemak semula.
"Kemiskinan Multidimensi yang diperkenalkan dalam RMK11 adalah indikator yang lebih baik untuk mengukur hasil penyampaian yang sebenar.
"Hasilnya, bukan sahaja boleh dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), malah komuniti Orang Asli dan mereka di Sabah dan Sarawak," tambahnya.
#COVID-19 #Malaysia #model #Orang Asli #pandemik #Parlimen #pendidikan
;