Kerajaan baharu Argentina harap projek LNG dengan Petronas akan diteruskan - Mondino

Bernama
Mac 17, 2024 23:43 MYT
Mondino dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu Argentina berharap projek gas asli cecair (LNG) bersama yang bernilai berbilion dolar dengan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas, akan diteruskan.
"Kami berharap dapat memberikan semua jaminan yang diperlukan untuk pelaburan ini diteruskan," kata Menteri Luar, Perdagangan Antarabangsa dan Ibadat Argentina Diana Mondino kepada Bernama.
Mondino, yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya, dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Petronas pada Isnin 18 Mac, 2024 untuk membincangkan aktiviti Petronas di Argentina.
Pada 1 Sept, 2022 Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat minyak dan gas bersepadu terbesar Argentina, YPF, untuk meneruskan kerjasama di negara Amerika Selatan itu dalam projek LNG bersepadu serta bidang lain termasuk minyak huluan, petrokimia dan penyelesaian tenaga bersih.
Perkara itu akan merangkumi pengeluaran gas huluan khusus, pembangunan saluran paip dan infrastruktur khusus, pengeluaran LNG serta pemasaran dan penghantaran.
Keputusan pelaburan akhir (FID) untuk projek itu akan dilaksanakan selepas penilaian teknikal dan komersial yang teliti dijalankan, disokong oleh terma, perundangan dan dasar fiskal yang kondusif.
Pakatan strategik Petronas dengan YPF bermula pada 2014 melalui perkongsiannya dalam projek La Amarga Chica, Vaca Muerta, sebagai sebahagian daripada aspirasi pertumbuhannya di benua Amerika.
Mondino berkata negara itu boleh mengeksport banyak produk gas dan minyak ke peringkat dunia.
"Argentina boleh mengeksport banyak gas kepada dunia namun kami belum mempunyai teknologi untuk mencairkan gas dan pengangkutan...bukan di tahap yang sepatutnya.
"Banyak perubahan politik berlaku di negara saya dan kini, kami jauh lebih pantas. Sebenarnya, perkara ini boleh bermula bertahun-tahun yang lepas namun tidak berlaku. Kami akan memajukan pelaburan seperti ini," katanya.
Dilaporkan pada 13 Mac, 2024 YPF dan Petronas telah membuat penangguhan selama setahun untuk memuktamadkan FID bagi fasa pertama projek itu.
-- BERNAMA
#Petronas #LNG #tenaga bersih #saluran paip
;