Kerajaan Arab Saudi belum wajibkan vaksin COVID-19 ke atas jemaah umrah
Rahimah Abdullah
Februari 26, 2021 09:07 MYT
Februari 26, 2021 09:07 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi belum mewajibkan bakal jemaah umrah mengambil suntikan vaksin COVID-19 untuk ke Tanah Suci.
Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Sevices Sdn Bhd Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, ketika ini Arab Saudi hanya mewajibkan suntikan Meningococcal Meningitis kepada jemaah selain pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Buat masa ini kerajaan Arab Saudi belum mewajibkan suntikan vaksin COVID-19. Yang ada hanyalah suntikan asas Meningococcal Meningitis sahaja.
"Belum ada kewajipan suntikan COVID ini. Selain itu, perlu ada keputusan negatif ujian PCR (ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase atau RT-PCR)," katanya semasa program Agenda AWANI melalui Skype malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Ruzman berkata had umur bakal jemaah umrah juga akan ditentukan kerajaan Arab Saudi.
"Had umur dikenakan, kita akan tahu apabila kita buka sistem itu nanti. Semasa membuat permohonan, (kita akan tahu sama ada) ia akan sekat atau tidak.
"Ketika awal dibuka 1 November lalu, had umurnya 50 tahun, iaitu paling muda 18 tahun dan paling tua, 50 tahun.
"Ia kemudian dilonggarkan kepada 18 hingga 60 tahun. Namun keadaannya boleh berubah.
"Apabila dibenarkan nanti, baru kita tahu apa had umur ditetapkan melalui sistem online. Contohnya, Indonesia ketika ini had umur 60 tahun," tambahnya.
Dalam masa sama, beliau melihat had umur yang dikenakan memberi kesan kepada TH Travel dan agensi-agensi pengendali pelancongan lain.
"Tentunya ia ada kesan, sebab jemaah kita lebih 60 tahun ada 11 hingga 12 peratus.
"Jadi, saya rasa kesan itu sama dengan agensi pelancongan lain, dan kita juga hilang dari segi sokongan bakal jemaah kita," ujar beliau.
#kerajaan
#Arab Saudi
#Wajib
#suntikan
#vaksin
#COVID-19
#Malaysia
#umrah
#Ahmad Ruzman Ahmad Razali
#Agenda Awani
#KKM
#SOP
#Indonesia
#operasi
#TH Travel
#Meningococcal Meningitis
#had umur
#hilang sokongan
#ujian saringan
#pcr