Kerajaan ambil pendekatan inklusif perkasa agenda pendigitalan - Muhyiddin
Astro Awani
Disember 7, 2020 10:55 MYT
Disember 7, 2020 10:55 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil pendekatan secara inklusif dan menyeluruh dalam usaha memperkasa agenda pendigitalan yang merupakan salah satu daripada teras dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia menjamin kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat yang berdepan kesan ekonomi pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara.
"Justeru, proses digitalisasi ini akan terus dipergiat dan tumpuan juga diberikan kepada pembangunan ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19.
"Sebagai contoh, kerajaan menyasarkan sebanyak 40 peratus pendigitalan penyampaian perkhidmatan end-to-end iaitu E2E sepenuhnya menjelang akhir tahun 2020 berbanding 20.2 peratus pada tahun 2019.
"Sasaran ini juga diperkasakan dengan penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang saya sendiri pengerusikan bagi memastikan pembangunan ekonomi digital yang mampan untuk manfaat semua seiring dengan potensi teknologi 4IR di negara kita," katanya ketika berucap semasa melancarkan Portal Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat secara maya pada Isnin.
Portal itu dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan SME Corp.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata beliau sedar sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terhadap ekonomi negara dan penyediaan peluang pekerjaan.
Jelasnya, pada tahun 2019, PKS telah menyumbang sebanyak 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 38.3 peratus pada tahun 2018.
"Manakala sebanyak 45 peratus daripada KDNK disasarkan menjelang tahun 2025 dan 50 peratus pada tahun 2030.
"Oleh sebab itu, langkah-langkah untuk menjana pertumbuhan PKS akan terus diberi keutamaan melihat kepada trend pembelian dalam talian pada hari ini yang menunjukkan potensi PKS untuk berkembang secara pesat.
"Dengan itu, proses pendigitalan dalam kalangan peniaga dapat dipermudahkan," ujarnya.
Katanya lagi, dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, kelangsungan perniagaan menjadi salah satu daripada tiga matlamat utama.
"Perhatian khusus telah diberikan kepada PKS menerusi bantuan dana, latihan, peralatan digital dan geran.
"Antara lain, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk merancakkan aktiviti pendigitalan dengan ketersediaan dana sehingga 31 Disember 2023.
"Sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan di bawah Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro," jelasnya.
Selain itu kata Muhyiddin, sebanyak RM4.6 bilion turut diperuntukkan bagi memperkasakan usahawan bumiputera dan penyediaan pembiayaan mikro kredit khas melalui Tekun, Mara dan AgroBank yang memberi manfaat kepada usahawan wanita.
"Kesemua usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melonjakkan PKS dan konsisten dengan kerangka inisiatif-inisiatif dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini seperti Skim Pembiayaan PKS Penjana dan Geran Prihatin Khas 1 dan 2 untuk meringankan beban para peniaga.
"Menyedari peri pentingnya platform digital dalam bidang perniagaan dan sumbangan PKS kepada ekonomi negara, portal MalaysiaBiz telah dibangunkan oleh MAMPU untuk menjadi pemudah cara dalam urusan perniagaan setempat.
"Portal ini berfungsi sebagai “one-stop center” dengan menyediakan sebuah portal setempat bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen atas talian secara efisien," katanya.
Portal MalaysiaBiz ini diintegrasikan dengan sistem dalam talian di 17 agensi bagi membolehkan peniaga mendapatkan perkhidmatan di satu gerbang sahaja.
Hanya melalui lima langkah mudah, pengguna boleh melaksanakan urusan secara end-to-end bermula dari peringkat permohonan sehinggalah ke peringkat bayaran.
Pelancaran Portal MalaysiaBiz adalah tanda aras baharu penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam ke arah Kerajaan Digital hasil kolaborasi pintar merentasi pelbagai agensi serta memudahkan urusan memulakan perniagaan dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga.
#Muhyiddin Yassin
#PERKASA
#MARA
#KDNK
#PKS
#COVID-19
#Wawasan Kemakmuran Bersama 2030
#kelangsungan ekonomi
#kesejahteraan hidup rakyat
#AgroBank
#TEKUN
#Geran Prihatin Khas
#Skim Pembiayaan PKS Penjana
#MalaysiaBiz