Kerajaan ambil langkah proaktif kukuhkan Angkatan Pertahanan Awam - PM
Firdaus Azil
Mac 24, 2021 16:24 MYT
Mac 24, 2021 16:24 MYT
KAJANG: Pelbagai langkah proaktif akan terus diambil oleh kerajaan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan kini sedang mempertimbangkan beberapa cadangan bagi memperkukuhkan peranan APM sebagai benteng pertahanan negara khususnya, dalam menyediakan perkhidmatan kemanusiaan di waktu kecemasan.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji keperluan untuk memperluas operasi kecemasan dan bencana yang meliputi operasi khas bersepadu merentasi agensi.
“Salah satu usaha kerajaan ialah dengan memperluas operasi kecemasan dan bencana yang meliputi operasi khas bersepadu merentasi agensi.
“Langkah ini bertujuan untuk memerangi pandemik COVID-19 khususnya di stesen-stesen atau pusat kuarantin, kawalan sempadan serta menerusi program pemerkasaan komuniti,” katanya lagi.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-69, dan Perasmian Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di sini pada Rabu.
Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan kerajaan, kata Perdana Menteri, pembinaan kompleks pejabat dan pusat latihan di negeri Perak, Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan dalam Rolling Plan 2 menerusi Rancangan Malaysia ke-12.
Kompleks itu, jelas beliau, bakal menjadi pusat pemindahan sementara atau temporary shelters untuk penduduk yang terkesan akibat bencana dan akan dilengkapi dengan Sistem Amaran Awam.
Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri juga akan melakukan penambahbaikan atau penstrukturan semula jawatan tetap di pejabat-pejabat negeri dan daerah melalui Sekretariat Pengurusan Bencana.
Selaras dengan inisiatif-inisitif tersebut, Perdana Menteri berharap APM dapat terus memainkan peranan untuk meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat setempat dalam menghadapi sebarang bentuk bencana dan kecemasan di peringkat negeri, daerah sehingga ke akar umbi.
“Ini termasuklah turun ke lapangan dengan kerap untuk mendidik atau mengadakan libat urus bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.
“Langkah ini dapat memastikan mereka bersedia bertindak sebagai first-responder apabila berdepan dengan situasi kecemasan seperti bencana atau kebakaran,” katanya lagi.
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
#APM
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#langkah proaktif
#benteng pertahanan negara
#perkhidmatan kemanusiaan