Kerajaan ambil langkah pelbagaikan dan tingkatkan sumber pendapatan negara - Lim

Bernama
Julai 18, 2024 14:57 MYT
Lim berkata, kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan GST buat masa ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk mempelbagaikan dan meningkatkan sumber pendapatan negara, antaranya menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang berkuat kuasa 1 Januari lepas.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata melalui akta tersebut, kerajaan meningkatkan langkah mobilisasi hasil termasuk meluaskan asas hasil cukai, menambah baik dan menyemak semula struktur pentadbiran dan rangka kerja perundangan cukai serta pemberian insentif percukaian.
"Langkah ini akan direalisasikan melalui pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) bagi memastikan perancangan cukai jangka sederhana lebih teratur dan sepadan dengan perbelanjaan serta penyediaan Penyata Perbelanjaan Cukai pada masa akan datang bagi membantu menilai cukai yang terkorban menerusi pemberian potongan, rebat dan insentif cukai," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang ingin tahu mengenai usaha kerajaan dalam meningkatkan hasil selain melalui pungutan cukai dan pelaksanaan subsidi bersasar.
Dalam memastikan kutipan hasil kerajaan terus kukuh, katanya usaha ke arah memantapkan tata kelola dan pentadbiran cukai, meningkatkan kesedaran pembayar cukai terhadap tanggungjawab membayar cukai akan terus dilaksanakan.
Beliau berkata ini termasuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti pelarian dan pengelakan cukai.
Lim berkata pada 2023, kutipan cukai menyumbang kira-kira RM229 bilion atau 72.8 peratus daripada hasil kerajaan sebanyak RM315 bilion manakala pemberian subsidi, insentif dan bantuan kerajaan pula kira-kira RM80 bilion atau 19.7 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM406 bilion.
Katanya penyasaran subsidi diesel yang bermula 10 Jun lepas dijangka memberikan penjimatan RM4 bilion setahun kepada kerajaan, sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan, antaranya memperkukuh fiskal negara dan mengurangkan ketirisan bantuan kerajaan.
Sementara itu, katanya kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini.
Bagaimanapun, katanya kerajaan akan terus menambah baik sistem cukai sedia ada dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai kepenggunaan baharu seperti GST.
Katanya pelaksanaan GST akan dipertimbangkan apabila terdapat persekitaran ekonomi yang bersesuaian terutama mengambil kira aspek kesan inflasi daripada rasionalisasi subsidi.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), Lim berkata kerajaan komited untuk mengatasi masalah kehilangan hasil cukai terutamanya melalui penyeludupan dan antara langkah yang akan diambil ialah melaksanakan sistem e-Invois yang akan bermula pada Ogos ini.
"Kita akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan kerajaan mendapat pendapatan yang sewajarnya," katanya.
-- BERNAMA
#GST #Inflasi #subsidi bersasar #Dewan Rakyat