Kerajaan ambil langkah bijak benarkan kemasukan pekerja asing dari 15 negara - PAPSMA
Astro Awani
Januari 11, 2023 18:37 MYT
Januari 11, 2023 18:37 MYT
KUALA LUMPUR : Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyifatkan kerajaan membuat langkah bijak dan positif selepas membenarkan kemasukan pekerja asing dari 15 buah negara sumber serta menyambung program kalibrasi semula pekerja sedia ada.
Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair berkata, langkah itu juga sekali gus akan dapat mengurangkan masa menunggu oleh majikan untuk membawa masuk pekerja asing dari negara sumber.
"Kami merasa program baharu ini adalah satu langkah yang bijak dan positif oleh kerajaan ke arah mempercepatkan kemasukan pekerja asing ke Malaysia khususnya untuk kuota-kuota yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.
"Langkah ini akan mengurangkan masa menunggu oleh majikan-majikan yang kian tidak sabar dengan masa yang diambil oleh negara-negara sumber untuk membawa masuk pekerja migran dari negara mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, ketika ini dianggarkan hanya 40 peratus daripada lebih 400,000 kuota diperuntukkan Kementerian Sumber Manusia memasuki tanah air sejak mula kuota berkenaan diberikan pada bulan Jun 2022.
"PAPSMA juga menerima konsep peralihan proses kelulusan dari KSM ke KDN melalui agensi-agensi kawal selia bagi kelulusan kini permohonan pekerja asing dari pelbagai sektor yang dibenarkan oleh kerajaan.
"Walau bagaimanapun, kami mengharapkan kedua-dua kementerian ini sanggup bekerjasama erat bagi memastikan kelicinan kemasukan pekerja asing dalam masa yang singkat tanpa kerumitan dalam proses dan protokol yang dimeterai oleh kedua-dua kementerian ini," tambahnya.
PAPSMA juga berharap proses baharu dan protokol aliran kerja bersama-sama dengan dokumentasi digital diberi keutamaan agar permohonan baharu majikan tidak terbantut dan ekonomi SME dapat dipertingkatkan segera.
"Agensi-agensi pekerjaan yang berlesen di Malaysia harus diberi peluang dan mandat untuk memainkan peranan mereka agar segala kesulitan dalam proses permohonan hinggalah kemasukan pekerja asing tersebut ke Malaysia dapat diselenggarakan dengan mudah dan mengurangkan kos pengrekrutan pekerja asing ke Malaysia dengan drastik mengikut kehendak perlembagaan ILO antarabangsa sedunia.
"PAPSMA memohon agar kesemua 1200 agensi pekerjaan berlesen diberikan kebenaran untuk membantu majikan tempatan dalam proses kalibrasi semula bagi pekerja asing di Malaysia dalam masa yang singkat dan memberi peluang kepada majikan untuk memulih ekonomi dan pendapatan perniagaan mereka dengan pantas dan mudah serta akan menyhindar syarikat mereka daripada penutupan kerana tidak dapat bertahan berikutan kerugian disebabkan kekurangan tenaga kerja yang begitu lama," ujarnya.