Kerajaan ambil kira pelbagai strategi jelas dalam RMK-12 - Mustapa

Fauzi Suhaimi
November 23, 2020 16:13 MYT
Mustapa berkata, usaha itu bagi menangani isu struktur ekonomi untuk memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited mengambil kira pelbagai strategi yang lebih jelas untuk memulih dan menjana semula ekonomi negara yang terkesan disebabkan COVID-19 menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha itu juga bagi menangani isu struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan.
"Kini, penyediaan RMK-12 sedang berada dalam peringkat akhir dan akan dibentangkan pada awal tahun depan.
"Antara bidang utama yang akan diberi tumpuan di dalam RMK-12 meliputi revolusi perindustrian keempat, ekonomi digital, perusahaan kecil dan sederhana; pembangunan inklusif, kemiskinan, pembangunan bandar dan luar bandar, serta penjagaan kesihatan; dan ekonomi hijau, ekonomi kitaran serta perubahan iklim," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, kerajaan yakin bahawa meneruskan projek-projek kesalinghubungan infra rakyat seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dapat merancakkan ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan domestik dalam masa terdekat.
Selain itu, kata beliau, manfaat yang diharapkan termasuk merangsang serta memulihkan ekonomi yang komprehensif dengan menyediakan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi di negara ini, meningkatkan pendapatan rakyat dan membantu perniagaan.
"Projek-projek infrastruktur ini akan memberikan kesan pengganda (multiplier effect) yang positif kepada ekonomi negara.
"Selain itu, ia turut merangsang industri tertentu seperti pelancongan dan hartanah, sekali gus mengangkat tahap kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya," jelas beliau.
#Mustapa Mohamed #Dewan Rakyat #Rancangan Malaysia Ke-12 #COVID-19 #Belanjawan 2021
;