'Kerajaan akui sukar selesai isu Rohingya' - Anifah
Wan Syamsul Amly, Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
Oktober 20, 2015 13:35 MYT
Oktober 20, 2015 13:35 MYT
Isu pelarian Rohingya sukar diselesaikan walaupun pelbagai perbincangan mengenainya dibuat bersama Menteri Luar Myanmar.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, isu itu yang kini sudah lama berlarutan berdepan dengan jalan buntu walaupun sudah dibawa ke peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
"Kita perlukan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu menangani isu ini. Ia perkara kompleks dan memerlukan perbincangan mendalam dengan Myanmar.
"Ia tidak boleh diselesaikan dalam waktu yang singkat. Kita akan terus berusaha membawa isu ini ke peringkat PBB atau OIC," katanya semasa menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) pada sesi Dewan Rakyat di sini hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan menerusi Kementerian Luar mengadakan perbincangan tergempar dengan Thailand dan Indonesia bagi mencari jalan penyelesaian mengenai pelarian Rohingya yang menjadi isu dalam kalangan negara ASEAN.
Perbincangan itu antara lain membincangkan mengenai penyeludupan manusia dan permerdagangan orang khususnya membabitkan etnik Rohingya di Myanmar yang melarikan diri ke negara jiran ekoran kekejaman yang dilakukan terhadap mereka.
Dalam pada itu, Anifah berkara, kerajaan mahu mana-mana warga luar yang datang ke Malaysia adalah kerana urusan ekonomi dan bukan sebagai pendatang.
Lebih 1,000 pendatang Rohingya, Myanmar dan Bangladesh tersadai di perairan negara baru-baru ini.
Ia sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan beikutan terbongkarnya sindiket pemerdagangan manusia sebagai dalang membawa pendatang berkenaan dan krisis itu meruncing ekoran keengganan beberapa negara ASEAN menerima kemasukan mereka.