Kerajaan akan wujudkan sistem aduan 'cedok content' pemilik berita
Astro Awani
Februari 22, 2024 12:18 MYT
Februari 22, 2024 12:18 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan melihat keperluan mewujudkan satu sistem asas iaitu pemilik berita boleh membuat aduan jika 'content' atau kandungan diambil tanpa kebenaran.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, lambakan isu bahan berita yang 'dicedok' lalu dimuat naik tanpa kebenaran di laman web lain boleh mengakibatkan implikasi maklumat dan fakta disalah tafsir.
"Kita lihat isu content, bahan berita yang dicopy paste, diambil, dicedok dan dimuat naik di laman web lain, saya tidak pasti ada kebenaran ataupun tidak daripada pemilik.
"(Dalam isu ini) saya melihat kita perlu ada satu sistem asas, yang mana pemilik asal kepada berita itu boleh buat aduan kepada pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) contohnya untuk diambil tindakan," tambahnya lagi.
Menurutnya lagi, isu berkenaan bukan sahaja menyalahi etika pelaporan berita, malahan menimbulkan isu lain terutamanya kesalahan menafsir maklumat oleh pembaca dan rakyat.
"Saya lihat isu hak cipta bukan hanya terkesan kepada e-dagang, tetapi banyak berita ini telah diambil tanpa kebenaran oleh pihak asal.
"Inilah antara lain mengakibatkan maklumat disalah tafsir, ataupun diubahsuai, seolah-olah itu yang dilaporkan oleh media asal," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program MAXIS 5G-Advance Trial Showcase di Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Pada 20 Februari lalu, Fahmi melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia yang diharap akan terus memacu media Malaysia sebagai sumber dipercayai rakyat dalam memberi maklumat tepat dan sahih mengenai keadaan semasa negara.
Beliau berkata, kod etika berkenaan yang menggarap lapan etika adalah versi baharu yang diteliti semula oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) untuk menggantikan kod yang telah diguna pakai sejak 35 tahun lalu.