Kerajaan akan warta kewajipan penggunaan MySejahtera - Dr Noor Hisham
Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 3, 2020 19:58 MYT
Ogos 3, 2020 19:58 MYT
Kerajaan akan mewartakan kewajipan pengunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis seluruh negara melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ini kerana Kementerian Kesihatan berdepan masalah mengesan kontak rapat di premis-premis yang tidak mempunyai rekod maklumat pelanggan sekiranya ada kes positif COVID-19.
"Ketika ini cabaran yang dihadapi oleh kementerian adalah mengesan kontak rapat sebab pertama premis tidak menggunakan MySejahtera atau aplikasi lain.
"Kedua, premis juga tidak mempunyai rekod pelanggan. Sepatutnya premis perlu ada rekod pelanggan termasuk nombor telefon pelanggan yang masuk ke premis tersebut," ujarnya.
Menjawab soalan mengenai tindakan KKM bagi mengesan kontak rapat di premis yang tidak menggunakan aplikasi Mysejahtera, Dr Noor Hisham berkata KKM telah melaksanakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (TEMCO) di kawasan terlibat.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Pejabat Peguam Negara akan mewartakan penggunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis di seluruh negara.
Ismail Sabri berkata pengeculian hanya dibenarkan di kawasan luar bandar, bandar kecil tidak mempunyai internet dan mereka masih boleh menggunakan secara manual.
#Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
#aplikasi MySejahtera
#COVID-19
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#Peguam Negara
#TEMCO