Kerajaan akan utamakan tambah baik sistem cukai semasa - Amir Hamzah
Bernama
Mac 4, 2024 20:30 MYT
Mac 4, 2024 20:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengutamakan untuk menambah baik sistem cukai semasa sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai baharu seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
"Saya fikir GST adalah struktur cukai yang sentiasa kita lihat dengan teliti, dan ia akan mengambil sedikit masa sebelum kita mengkaji segala-galanya.
"Tetapi pada masa ini, fokus kita sebenarnya adalah (menggunakan) instrumen yang kita ada seperti SST (cukai jualan dan perkhidmatan) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis Peluncuran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan - Belanjawan 2024, di sini, hari ini.
Mengenai kenaikan kadar cukai perkhidmatan dan pelaksanaan cukai barang bernilai rendah, Amir Hamzah berkata kerajaan akan mengadakan lebih banyak perbincangan dengan pihak berkepentingan sebelum memperkenalkan langkah cukai baharu bagi mengelakkan kekeliruan berulang.
"Jika anda perhatikan, kadar cukai perkhidmatan yang meningkat daripada 6.0 peratus kepada 8.0 peratus telah diperkenal dan diumumkan dalam Belanjawan 2024, dan sebenarnya, banyak perbincangan telah diadakan dengan pelbagai kumpulan untuk memastikan kita mengetahui apakah perkara-perkara utama.
"Pada masa yang sama, apa juga kenyataan yang dikeluarkan, kadang-kadang komunikasi sepatutnya dilakukan dengan lebih baik lagi, dan kami perlu menambahbaiknya lagi," katanya.
Beliau berkata semakan semula kadar cukai perkhidmatan itu adalah wajar untuk meningkatkan hasil kerajaan dan mengagihkan semula hasil yang dikumpul bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
Amir Hamzah juga bersetuju dengan langkah Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi mengekang perniagaan yang tidak terlibat dengan kenaikan itu daripada mengeksploitasi kadar cukai yang lebih tinggi dengan menaikkan harga.
"Saya fikir ramai rakyat Malaysia juga boleh memainkan peranan mereka dengan membuat aduan sekiranya mereka merasakan bahawa harga dinaikkan (tetapi) tidak selari dengan kenaikan cukai perkhidmatan," katanya.
Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lepas, kadar cukai perkhidmatan akan dinaikkan kepada lapan peratus daripada enam peratus bermula Mac 2024, manakala kadar cukai barang bernilai tinggi akan dikenakan antara lima peratus dan 10 peratus, mulai Mei.
-- BERNAMA